Penghargaan tinggi Kriket Melayu kepada Wan Mohd. Zahid

KETUA Pengarah Pelajaran tahun 1993 hingga 1997, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin meninggal dunia pada pagi 16 September 2022 di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya berikutan sakit tua.
 
Naib Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia itu masih diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Yayasan SP Setia hingga ke akhir hayat selepas banyak berkhidmat dalam sektor korporat selepas persaraannya.

Wan Mohd. Zahid, 82, telah dilantik sebagai Pengerusi SP Setia Berhad di samping diberi mandat selaku pengarah kepada beberapa institusi besar seperti Sime Darby Berhad, Amanah Mutual Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad. Beliau turut dipilih ahli majlis Yayasan Sime Darby dari dari tahun 2008 hingga 2021.

Dari sudut pendidikan pula, Allahyarham yang berpengalaman luas pernah menjadi Pengerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Pengerusi Universiti Teknologi Mara, Pengerusi Akademi Pendidikan Tinggi dan Pemegang Amanah Yayasan Pintar. Beliau juga bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Wan Mohd. Zahid menyertai Kriket Melayu sebagai naib yang dipertua atas undangan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada 31 Mac 2009 sewaktu rombakan kepemimpinan persatuan selepas kemangkatan Tuanku Ja'afar Tuanku Rahman akhir 2008. Tuanku Ja'afar merupakan Yang Dipertua Kriket Melayu manakala Ahmad Sarji sebagai timbalan baginda sehingga tahun 2008.

Kehadiran Allahyarham ke Kriket Melayu banyak memberi manfaat terutama sokongan selama tujuh tahun menerusi program Pembangunan Kriket Nasional Yayasan Sime Darby-Kriket Melayu. Projek besar itu telah melahirkan ramai pemain berbakat tinggi sehingga beraksi dalam liga di England, Wales, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Australia.

Turut sama diperjuangkan beliau ialah mewujudkan gelanggang kriket bertaraf antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia; YSD-UKM Oval yang dilancarkan pada 15 April 2015 dan dirasmikan oleh Ahmad Sarji pada 7 Januari 2019.

''Perjuangan Allahyarham sewaktu bersama kami akan terus dikenang dan dihargai,'' kata seorang lagi Naib Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.
 
 
TAN SRI DR WAN MOHD ZAHID NOORDIN

 
WAN MOHD. ZAHID (tengah) sewaktu majlis pelancaran bagi membina gelanggang kriket antarabangsa, YSD-UKM Oval pada 24 April 2015 di Bangi, Selangor.
 
 
DI BAYUEMAS OVAL. Wan Mohd. Zahid (tujuh dari kiri) bersama ahli majlis Kriket Melayu bagi musim 2012 di padang kriket terbaik di Malaysia, Bayuemas Oval. – Foto Persatuan Kriket Melayu Malaysia.