Kelab Aman utamakan program bawah 12

KELAB Aman yang bernaung di bawah Kesatuan Sikh Selangor menerima sokongan peralatan sukan daripada Persatuan Kriket Melayu Malaysia dalam langkah memulihkan semula program pembangunan bagi kumpulan sasar bawah 12 tahun.

Bendahari Seksyen Kriket Kelab Aman, Hussein Chou Abdullah berkata, program di Kelab Aman itu sudah bermula bulan lepas dan peralatan yang dihadiahkan Kriket Melayu secara berperingkat-peringkat ini amatlah dialu-alukan.

Katanya, pembangunan bawah 12 terpaksa digerakkan semula berikutan pencapaian sukan itu di peringkat antarabangsa terutama kategori peringkat usia amatlah membimbangkan.

”Disebabkan ini, saya amatlah bersemangat untuk bekerjasama dengan Kriket Melayu yang sememangnya amat berjasa dalam membangunkan kriket nasional sehingga tahun 2017,” katanya.

Di peringkat awal ini, sesi kejurulatihan hanya tertumpu pada pagi setiap Ahad di Kelab Aman di bawah pengawasan tiga jurulatih ternama; Avtar Furrah, Krishnamurthi Muniandy di samping pengawasan pengelola kriketnya, Mevinder Dahliwal.

Kelab Aman membuka penyertaan kepada orang ramai ke sesi latihan itu tanpa bayaran. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Hussein di talian 017.9253598 atau Mevinder 012.3002349. 
 
 
 
BOLA lembut berjenama antarabangsa, Kookaburra yang akan digunakan dalam prgram bawah 12 di Kelab Aman.
 
 
HUSSEIN CHOU bersama sebahagian daripada peralatan kriket bawah 12 yang dihadiahkan Kriket Melayu pada 24 Ogos 2022.