Wan Abdul Rahman banyak berjasa, popular

TAN SRI WAN ABDUL RAHMAN YAACOB yang meninggal dunia pagi, 2 Julai 2022 di Hospital Pakar KPJ Damansara telah banyak menabur jasa menerusi Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

Jawatan akhir Allahyarham ialah timbalan yang dipertua dari tahun 2009 hingga 2021. Sebelum itu, beliau merupakan naib yang dipertua dari 2000 hingga 2009.

Wan Abdul Rahman, 81, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang juga memegang pelbagai jawatan selepas bersara sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya pada tahun 1996.

Antara jawatan pengerusi yang disandang Allahyarham ialah di IJM Corporation Berhad, Litrak, Northport, Malaysian International Merchant Bankers Berhad, Minconsult dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sebelum dipilih Ketua Pengarah JKR, beliau ialah Pengarah JKR di Terengganu dan Pahang. 

Allahyarham menyertai Kriket Melayu sebagai naib yang dipertua pada 2000 sewaktu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman mengetuai pertubuhan itu manakala Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid ketika itu selaku timbalannya.

Selepas Tuanku Ja'afar mangkat, Ahmad Sarji bersetuju Wan Abdul Rahman yang popular itu dinaikkan sebagai timbalan yang dipertua pada tahun 2009.

Menerusi pelbagai taburan jasanya, Allahyarham memastikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kembali menandatangani persefahaman sebagai antara pusat prestasi tinggi bagi Kriket Melayu di pusat pengajian tinggi pada 25 Februari 2011.  Dua lagi pusat prestasi tinggi persatuan itu ialah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Asia Pasific University.

Pada 29 Januari 2014, beliau turut mengadakan perjanjian dengan Princess of Naradhiwas University di Narathiwat (PNU), Thailand. Persefahaman ini bagi memastikan pemain di pusat pembangunan Kriket Melayu di Pattani, Thailand mudah melanjutkan pengajian ke PNU.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara.
 
 
WAN ABDUL RAHMAN bersama Setiausaha Agung Kriket Melayu dari 1992 hingga 2021, Rosmanizam Abdullah. Rakaman di Victoria Institution 11 Mac 2002.

 
SESI menandatangani pakatan Kriket Melayu-UiTM pada 25 Februari 2011. Kriket Melayu diwakili Datuk Mir Shahariman Shaharuddin (depan kiri) dan Wan Abdul Rahman.

 
WAN ABDUL RAHMAN YAACOB... bersara sebagai Ketua Pengarah JKR tahun 1996.
 
 
WAN ABDUL RAHMAN turut menandatangani perjanjian dengan Princess of Naradhiwas University untuk membolehkan pemain yang dibangunkan Kriket Melayu di Pattani, Thailand mudah melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi itu.