Kriket Melayu hasilkan buku bergambar kisah Ahmad Sarji

KUALA LUMPUR – Sebuah buku penceritaan bergambar mengenai pembabitan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah dihasilkan.

Kriket Melayu menerbitkan pengisahan berkenaan sejak Allahyarham menganggotai persatuan itu sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan pada tahun 1996 sehinggalah 28 Ogos 2021.

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu dipelawa sebagai timbalan yang dipertua pada tahun 1996 oleh Yang Dipertua Kriket Melayu ketika itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ja’afar.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 28 Ogos 2021 itu, telah dilantik yang dipertua pada 2009 setelah Tuanku Ja’afar mangkat tahun 2008.

Naib Yang Dipertua Kriket Melayu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi bersama beberapa pegawai persatuan melakukan kunjungan ke kediaman balu Allahyarham, Toh Puan Sagiyah Salikin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2021 untuk majlis penyampaian buku yang dihasilkan itu.

Turut sama dalam majlis ialah anak Allahyarham, Suryani Ahmad Sarji.
 


SAGIYAH SALIKIN (dua kanan) meneliti bahan dalam buku bergambar Tun Ahmad Sarji di kediamannya pada 22 Disember 2021. Turut sama anak Allahyarham Suryani (kanan); ahli persatuan Rosle Azmi (kiri); ahli majlis Mohsain Hashim (dua kiri), setiausaha kewangan Rosmanizam Abdullah dan Abdul Azim (tiga kanan). 



ROSMANIZAM ABDULLAH (kiri), Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Sagiyah Salikin tekun menghayati bahan dalam buku yang dihasilkan Kriket Melayu.