MCA bermegah tawan semua ‘stadium kriket’

PERSATUAN Kriket Malaysia (MCA) semakin hampir mendapat pajakan Bayuemas Oval; sebuah gelanggang bertaraf antarabangsa yang diiktiraf Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).

MCA akan mengendalikan oval yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu pada Disember 2021 dan bakal bertungkus-lumus menyediakan padang permainan itu bagi pertandingan antarabangsa Januari 2022.

Bayuemas Oval ‘lepaskan’ Persatuan Kriket Melayu Malaysia akhir tahun 2020 setelah menamatkan pajakan setelah menghuni gelanggang dan kompleks berkenaan sejak tahun 2004. Ia dibina Golden Hope Plantations Berhad sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khusus bagi kegunaan Kriket Melayu yang menguasainya ketika itu.

Di bawah perjanjian pajakan ini, MCA diberi peluang memiliki dan mengurus kemudahan asas di kompleks Bayuemas itu selama lima tahun; merangkumi Bayuemas Oval, Bayuemas Indoor Bowls dan Stadium Kriket Dalam Dewan Tun Ahmad Sarji.

Persatuan itu hanya diminta membayar kira-kira RM100,000 setahun sebagai kos pemilik sekarang, Sime Darby Property Berhad membayar cukai tanah dan taksiran. Pembaikan dan penyelenggaraan perlu dikendalikan sendiri MCA.

MCA kini menguasai Kinrara Oval, Bayuemas Oval, STC dan YSD-UKM Oval. Sekalungan tahniah kepada Penaung MCA, Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad. Jeffri Salim Davidson yang pernah memegang jawatan Bendahari MCA. Mereka dikatakan telah berusaha dalam proses mendapatkan Bayuemas Oval.

Apa yang menjadi kebimbangan utama sama ada MCA berupaya melunaskan bayaran tahunan itu kepada pemilik kompleks Bayuemas.

Pegawai kanan Sime Darby Property Berhad, bagaimanapun berpendapat bahawa MCA boleh meraih lebih banyak perolehan jika Bayuemas Oval, stadium dalam dewan dan indoor bowls dapat disewakan kepada orang ramai.

Katanya, MCA memang pakar dalam hal sedemikian seperti terutamanya banyak kejohanan kriket dianjurkan sebelum ini digerakkan dengan mengenakan yuran pertandingan tinggi. Apapun sebagai jaminannya, MCA perlu mengotakan perjanjian itu.
 
 
BAYUEMAS OVAL...stadium antarabangsa diiktiraf Majlis Kriket Antarabangsa.



JEFFRI SALIM DAVIDSON... ketuai Sime Darby Berhad.



AZMIR MERICAN... Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad.

 
SYED JAN ALJAFFRI... pegawai berjawatan tinggi di Sime Darby Property Berhad yang banyak membantu Bayuemas Oval sejak tahun 2004.