Terima kasih banyak-banyak Tun Ahmad Sarji

Oleh ROSMANIZAM ABDULLAH
Setiausaha Agung Kriket Melayu 1992-2021
Setiausaha Kewangan mulai 2021


APABILA jawatan timbalan yang dipertua tidak dicalonkan dalam mesyuarat agung tahunan Persatuan Kriket Melayu Malaysia pada 24 Mac 1996, nama Ketua Setiausaha Negara (KSN) ketika itu, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid (kemudian Tun) telah dicadangkan.

Keesokan hari, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ja'afar yang merupakan Yang Dipertua Kriket Melayu menitahkan saya selaku setiausaha agung persatuan menghadap baginda untuk membincangkan calon jawatan No. 2 yang kosong itu. 

Hasil perbincangan itu, baginda berkenan untuk melantik Ahmad Sarji sebagai timbalan yang dipertua.

Dalam mesyuarat majlis 27 November 1996, Ahmad Sarji dilantik sebulat suara sebagai timbalan baginda atas cadangan ahli majlis, Ja’apar Wahab dan disokong Suffian M. Ghadzalli.

Ahmad Sarji memahami keutamaan persatuan ketika itu; membina sebuah padang antarabangsa dan pewujudan akademi kriket.  

Beliau pernah berbincang dengan Menteri Besar Selangor waktu itu, Tan Sri Abu Hassan Omar mengenai cadangan mendapatkan tanah di Ulu Yam seawal Setember 1997.

Dalam mesyuarat agung tahunan pada 21 Mac 1999 di Istana Negara, sebuah akademi kriket telah diilhamkan menerusi lakaran ahli persatuan Mohd. Yusof Abd. Wahid juga dikenali sebagai Mass Yusof yang menarik perhatian Ahmad Sarji.

Lantas keesokan harinya, beliau memanggil suatu mesyuarat di pejabatnya di  Golden Hope Plantations Berhad di mana beliau ialah pengerusinya. Turut hadir ialah ketua eksekutif kumpulan syarikat itu, Datuk Abdul Wahab Maskan (kemudian Tan Sri), Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Nik Mohamed Yaacob serta Ketua Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad, Tan Sri Khalid Ibrahim. Tujuannya untuk mendapatkan kawasan bagi membina sebuah akademi kriket dan padang bertaraf antarabangsa. 

Saya kemudian dipanggil untuk makan tengah hari di pejabat Abdul Wahab pada hari sama bersama Ahmad Sarji. Dengan kehadiran Abdul Wahab dan perundingnya, Datuk Abdul Rahim Abdullah, diumumkan sebuah kawasan milik Golden Hope Plantations Berhad di Estet Sungai Sedu di Kampung Pendamar, Klang akan dibangunkan sebagai stadium kriket antarabangsa dilengkapi sebuah akademi.

Pembinaanya dilancarkan 6 Julai 2001 dan siap untuk pelancaran oleh Tuanku Ja;afar pada 21 Februari 2004. Stadium itu dinamakan Bayuemas Oval dan terkenal di serata dunia sehingga sekarang.

Dengan pewujudan stadium dan akademi bertaraf tinggi yang kemudian mendapat status ODI (perlawanan sehari antarabangsa) oleh Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) itu, pelbagai program pembangunan dimulakan.

Antara program cemerlang ialah Program Pembangunan Kriket Remaja (kumpulan sasar bawah12); Projek Kriket Nasional untuk pembangunan menengah dan seterusnya pada tahun 2007 wujud Pusat Prestasi Tinggi. Ketiga-tiga program ini digerakkan dari peringkat akar umbi, sekolah menengah dan kemudian menyertai pengajian di universiti.

Bagi pembangunan bawah 12, Ahmad Sarji memberi perhatian serius sehingga menghadiahkan sebuah perisai yang dipesan dari London untuk saingan 10 pasukan terbaik. Bagi pembangunan menengah, semua sekolah projek bertarung dalam pertandingan merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran secara dua ining. Kepada pemain perempuan disediakan pertandingan merebut Perisai Tuanku Najihah. 

Apabila melanjutkan pengajian di universiti, beberapa kejohanan dianjur sebagai kesinambungan kegiatan seperti Undangan Antara Varsiti Antarabangsa dan Kriket Twenty20 UKM.

''Jika ada program pembangunan, ia mesti dilengkapi pertandingan dan pendedahan yang setimpal,'' kata Ahmad Sarji suatu ketika dahulu.

Pembangunan bawah 12 meliputi daerah atau mukim sehingga 20 pasukan, pembangunan menengah dengan pembabitan menyeluruh jurulatih luar negara seperti Victoria Institution, Penang Free School, Sekolah Sukan Bandar Penawar, Kajang High School, SMK Clifford Kuala Lipis, SMK Tengku Indera Petra Gua Musang, SMK Titiwangsa Kuala Lumpur, SMK Pudu Kuala Lumpur. Pusat prestasi tinggi pula membabitkan tiga institusi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Asia Pasific University.

Pendedahan antarabangsa dilengkapkan setiap tahun sejak 2002 iaitu bawah 14 ke Sri Lanka pada November, bawah 18 ke Perth bulan Disember dan pemain perempuan bermain di Chiang Mai, Thailand. Kejohanan  tempatan dianjur membabitkan pasukan hebat seperti Cabaran Bawah 15 Antarabangsa (Trofi Tuanku Ja'afar)  membabitkan Sri Lanka, Singapura, Afrika Selatan, skuad akademi dari India dan Melayu Malaysia. 

Apabila prestasi pasukan senior Malaysia meningkat, Ahmad Sarji menghadiahkan sebuah piala untuk Kejohanan Undangan Antara Kelab Antarabangsa yang melibatkan kelab dari India, Sri Lanka dan Bangladesh untuk bersaing dengan pemain Melayu Malaysia yang mewakili negara. Kejohanan bagi merebut Piala Tun Ahmad Sarji itu turut menyediakan hadiah wang tunai puluhan ribu ringgit bagi menarik penyertaan pemain yang terkandung dalam pool kebangsaan negara masing-masing.

Satu pertandingan membabitkan orang berketurunan Melayu diwujudkan oleh Kriket Melayu seawal tahun 1999. Perhitungan Trofi Melayu Antarabangsa diperkenalkan mulai 1999 dengan Melayu Sri Lanka. Melayu Afrika Selatan pula menyertai saingan ini pada 2002 yang menghidangkan acara bawah 15 dan senior. Ahmad Sarji dalam ucapannya di Stadium Newlands di Cape Town, Afrika Selatan pada 2002 menyebut adalah perlu bagi pengemblengan ‘orang-orang Melayu’ ini dan mencadangkan sebuah majlis kriket Melayu antarabangsa dibentuk. Buat masa sekarang pertandingan ini dianjurkan setiap dua tahun.

Program Pembangunan Kriket Nasional atau National Cricket Development Programme (NCDP) sejak tahun 2010 sehingga 2017 dimulakan oleh Ahmad Sarji apabila ia mendapat sokongan Yayasan Sime Darby. Program kendalian Kriket Melayu ini menyaksikan wujudnya penempatan antarabangsa apabila pemain bertaraf  nasional dihantar beraksi di luar negara.

Setiap tahun dua pemain dihantar beraksi enam bulan di liga Australia Barat, tiga pemain mewakili kelab divisyen satu liga Sri Lanka (tiga hingga empat bulan), dua pemain ke liga utama bawah 23 Sri Lanka (tiga bulan), tiga pemain ke liga Western Province di Cape Town, Afrika Selatan (enam bulan)  dan dua pula silih berganti belajar sambil bermain di universiti di Wales dan England selama dua tahun. Semua belanja termasuk elaun bulanan, perjalanan serta kos pengajian dibayar Yayasan Sime Darby.

Ahmad Sarji juga menyokong pembangunan kriket di Selatan Thailand.  Kriket Melayu memulakan program dengan menghantar jurulatih untuk memantau pembangunan di Pattani. Dua pemain perempuan Pattani, Rosenanee Kanoh dan Soraya Lateh membarisi Thailand dalam pusingan akhir Piala Dunia T20 Wanita tahun 2020.

Sepanjang saya mengenali (Tun) Ahmad Sarji, segala keperluan untuk masa depan pemain dilaksanakannya tanpa sebarang persoalan. 

Dari seorang timbalan kepada Tuanku Ja'afar sehinggalah beliau mengetuai Kriket Melayu (mulai 2009), Ahmad Sarji mempelopri pembangunan kriket secara serius.

Beliau memastikan pegawai ‘kesukaannya’ sewaktu menjadi KSN turut membantunya dalam Kriket Melayu. Antaranya bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob yang menjadi naib yang dipertua (2000-2009) dan timbalannya mulai 2009 hingga 2021. Juga Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin (bekas Ketua Pengarah Pelajaran) selaku naib yang dipertua pada 2009 hingga sekarang. Kedua-dua individu ini banyak membantu Kriket Melayu.

Menerusi tajaan yang banyak, Kriket Melayu dapat melaksanakan pelbagai kegiatan pembangunan, pertandingan, pendedahan luar negara, penempatan antarabangsa, menggaji jurulatih luar negara yang hebat dan bertauliah.

Kriket Melayu menggaji ramai jurulatih pembangunan dari Sri Lanka, Bangladesh dan Pakistan bagi program peringkat menengah manakala turut sama membangunkan barisan di pusat prestasi tinggi dengan penampilan jurulatih berpengalaman tahap tinggi.

Berdasarkan jawatan tingginya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagai individu dihormati sewaktu dalam kerajaan, Ahmad Sarji sering memberikan nasihat yang membolehkan Kriket Melayu berjaya dalam pelaburan dan pemilikan hartanah.

Beliau turut memberi keutamaan kepada pembinaan kemudahan asas di semua sekolah Projek Kriket Nasional terutama mewujudkan lapangan tengah dan gelanggang latihan menggunakan rumput tiruan. Beberapa pusat bawah 12 juga menerima peruntukan ini.

Tidak terkecuali impiannya untuk melihat jauh dalam acara ‘kriket dalam dewan’ apabila diwujudkan sebuah stadium indoor yang siap pada 4 Oktober 2015 hasil sokongan RM5 juta daripada Sime Darby Berhad. Ia kemudian dinamakan Stadium Kriket Dalam Dewan Tun Ahmad Sarji yang dianggap antara gelanggang terbaik peringkat antarabansa oleh Persekutuan Kriket Dalam Dewan Dunia (WICF). 

Pada 2014 juga, beliau mencadangkan pewujudan sebuah padang kriket bertaraf antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Padang kriket lama diganti dengan lapangan  tengah tanah asli dan segala kemudahan asas dibina berpandukan kehendak Majlis Kriket Antarabangsa. Sebahagian besar belanja membina YSD-UKM Oval ditaja Yayasan Sime Darby dengan perasmian dilakukan pada 7 Januari 2019 oleh Ahmad Sarji yang juga Pro-Canselor UKM.

Kami, ahli Persatuan Kriket Melayu Malaysia berterima kasih kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; beliau seikhlas manusia yang tanpa henti-henti meneruskan pengorbanan sehinggalah detik dikembalikan kepada Penciptanya.

  • Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia pada 28 Ogos 2021. Seluruh warga Kriket Melayu menghargai pengorbanan besar beliau kepada pembangunan kriket di Malaysia sehingga persatuan ini sering mendapat pengiktirafan antarabangsa.


AHMAD SARJI... berucap sewaktu merasmikan Stadium Kriket Dalam Dewan Tun Ahmad Sarji pada 4 Oktober 2015.



MELAKUKAN balingan sebaik sahaja merasmikan stadium kriket dalam dewan berhampiran Bayuemas Oval.



SEBAIK SAHAJA penyerahan Perisai Ahmad Sarji kepada kapten pasukan Seremban dan Kuala Langat yang menjadi juara bersama Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan tahun 1999 di Kelab Kilat, Kuala Lumpur.



AHMAD SARJI serius meninjau tapak pembinaan stadium kriket (Bayuemas Oval) pada 6 Julai 2001.



PADA hari perasmian Bayuemas Oval (21 Februari 2004). Ahmad Sarji (dua kiri) bersama Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka, Rosy Senanayake (kiri) dan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman (tiga kiri).



SELEPAS diwawancara oleh radio Voice of the Cape sewaktu saingan Trofi Melayu Antarabangsa di Cape Town, Afrika Selatan pada 2002.



AHMAD SARJI bersama Rosmanizam Abdullah bergaya dengan jam tangan sama jenama.



MENYAMPAIKAN Trofi Melayu Antarabangsa kepada kapten Melayu Sri Lanka, Azran Burah di Kelab Kriket Melayu Colombo (CMCC)  pada 2003. Kanan sekali ialah Presiden CMCC, Brigadier TM Bohoran.