Ahmad Sarji: Pemimpin luar biasa pelbagai bidang

TUN AHMAD SARJI ABDUL HAMID meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Cheras akibat komplikasi Covid-19 pada 1.40 pagi, 28 Ogos 2021.  

Ahmad Sarji, 82, dimasukkan ke wad hospital berkenaan juga dikenali sebagai HUKM, pagi 3 Ogos 2021 apabila didapati positif wabak itu dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dua hari kemudian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Sagiyah Salikin dan lima anak.

Ahmad Sarji yang menyertai perkhidmatan awam sebagai timbalan kepada Penolong Pegawai Daerah di Klang pada tahun 1961 berkhidmat sehingga jawatan tertinggi selaku Ketua Setiausaha Negara (KSN) dari tahun 1990-1996.

Sehingga akhir hayatnya, beliau kekal memegang jawatan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang diasaskannya pada tahun 1992, Canselor Universiti Tun Abdul Razak dan Pro-Canselor Universiti Kebangsan Malaysia. Dalam pengurusan sukan, beliau masih Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia (sejak 2009) dan Presiden Professional Golf of Malaysia (PGM) dari tahun 2010.

Allahyarham merupakan pemimpin luar biasa dalam pelbagai bidang semasa kehidupannya. Bergiat cemerlang dalam sektor swasta selepas bersara daripada perkhidmatan dalam kerajaan di samping mengungguli kepemimpinan bidang sukan.

Sebaik sahaja persaraannya pada tahun 1996, beliau terus diberi tanggung jawab memimpin Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pengerusi. Antara firma besar yang diketuai beliau antaranya, Sime Darby Berhad, Northport Corporation Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan  I & P Group Sdn. Bhd.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ja'afar ketika memegang jawatan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah mempelawa Ahmad Sarji menjadi timbalannya sebaik menamatkan khidmat sebagai KSN pada tahun 1996.

''Ini merupakan penghormatan tidak ternilai kepada saya apabila Tuanku berkenan mempelawa saya menjadi orang No. 2 dalam Kriket Melayu,'' kata Ahmad Sarji banyak kali mengingati titah Tuanku Ja'afar itu.

Ahmad Sarji dipilih Yang Dipertua Kriket Melayu pada 2009 selepas Tuanku Ja'afar mangkat tahun 2008.

Malaysia cemerlang dalam sukan lawn bowls sehingga peringkat Komanwel dan Asia di bawah kepemimpinan beliau dari tahun 1997 hingga 2013. Atas nasihat Perdana Menteri, beliau menubuhkan Professional Golf of Malaysia pada tahun 2010 bagi memacu kecemerlangan sukan itu.

Kerajaan turut melantik Ahmad Sarji sebagai Pengerusi Panel Penasihat Sukan Malaysia dari tahun 2014 sehingga 2018.

Dalam perkidmatan awam, beliau antara tenaga muda yang dilihat bakal mewarisi kepemimpinan. 

Allahyarham menjadi antara pegawai daerah muda yang menonjol. Ahmad Sarji dilantik Pegawai Dearah Rembau, Negeri Sembilan  ketika berusia 25 tahun.

Perdana Menteri Tun Abdul Razak pula memilihnya mengetuai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) apabila badan itu diwujudkan pada tahun 1973. Ahmad Sarji dilantik ketua pengarah sehingga 1979 sebelum naik pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Kehebatannya menonjol lagi sehingga dipilih Ketua Setiausaha Kementerian  Perdagangan dan Perindustrian pada 1985 sehingga memegang jawatan tertinggi sektor awam sebagai KSN lima tahun kemudian. Beliau bersara daripada kerajaan ketika berusia 58 tahun.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob berpendapat, Ahmad Sarji merupakan seorang pentadbir yang berkualiti tinggi; baik dalam pengurusan sektor awam, swasta mahupun sukan.

Di mana sahaja beliau berada, banyak buku yang berkaitan dihasilkannya seperti The Public Service of Malaysia, The Chief Secretary to the Government, Malaysia, Sekadar Berpendapat, Given in Trust dan Director General Farmers' Organization Authority.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin pula berkata, Malaysia kehilangan seorang pemimpin dan tokoh yang sentiasa bekerja keras melebihi tahap sebenar-sebenarnya. 

''Allahyarham merupakan sebutir permata yang sentiasa menyinar,'' katanya. 
 
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. 
 
Semoga rohnya dicucuri rahmat.



TUN AHMAD SARJI ABDUL HAMID



AHMAD SARJI bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ja'afar menyaksikan saingan Utara-Selatan pada Disember 1996. Rakaman ini sebaik sahaja beliau menerima pelantikan sebagai Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu selepas bersara daripada perkhidmatan awam.



SELAKU Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik London 2012, Ahmad Sarji kegembiraan menyaksikan pemanah negara cemerlang dalam perhitungan acara itu di Lords Cricket Ground.



BERUCAP merasmikan pelancaran Rumah Kriket Melayu pada 5 April 2021.



PENYERAHAN Trofi Melayu Antarabangsa kepada kapten kriket Melayu Malaysia, Faris Almas-Lee apabila tuan rumah menewaskan Melayu Afrika Selatan di Bayuemas Oval tahun 2010.