Bekas pegawai Kriket Melayu meninggal dunia

BEKAS Timbalan Setiausaha Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Salahuddin Shamsuddin meninggal dunia 9 Mei 2021 di rumahnya di Sungai Merab, Kajang.

Salahuddin, 57, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak kedua, Muhaimin pukul 9.44 malam sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk pengesahan.

Allahyarham merupakan pelopor pasukan kriket Melayu Kuala Lumpur yang layak ke babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri (Perisai Raja-Raja) yang dipulihkan pertandingan pada tahun 1995.

Di samping memegang jawatan timbalan setiausaha pada 1998-2000, Salahuddin pernah diberi kepercayaan sebagai juruaudit dalam persatuan itu pada 1996-1998.

Sebagai pemain, Salahuddin membarisi skuad Melayu Malaysia yang memenangi gelaran 50 over kebangsaan tahun 1996.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan tiga anak juga seorang pengadil kriket bertauliah.

''Beliau seorang yang baik hati dan sering membantu tanpa mengharapkan ganjaran,'' kata bekas pemain kebangsaan dan Setiausaha Persatuan Kriket Sabah, Hatta Patombongi.

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Permata di Sri Gombak, Selangor.



SALAHUDDIN SHAMSUDDIN



SALAHUDDIN juga pembaling separuh pantas.



SALAHUDDIN (belakang, tengah) sewktu mewakili Melayu Malaysia dalam liga utama kebangsaan 1996.