Kriket Perisai Raja-Raja - Hari Pertama

 Kedah, Negeri Sembilan menang besar

PENJAGA wiket Remaja Bawah 15, Ahmad Tajudin Ismail (kiri) bersedia di belakang kayu pancang dalam pertemuan menentang Kedah pada hari pertama Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja di UKM Oval, 4 Mac 2009.

JUARA tahun 2003, Kedah dan naib johan musim 2008, Negeri Sembilan melakar kejayaan besar pada hari pertama Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja hari ini.

Remaja bawah 15 tahun yang diwujudkan menggantikan Johor yang menarik diri tahun ini, tewas dengan 105 larian kepada Kedah di UKM Oval, Bangi dengan pemain bawah 19 negara, Syazrul Ezat Idrus melakukan 97 larian dalam ining skuad utara itu. Terdahulu Kedah yang memenangi undian dan memilih untuk memukul hanya mengetuk 155 larian dalam 28.2 over.

Di Bayuemas Oval, Klang, Negeri Sembilan membaham Sabah dengan 189 larian setelah mengumpulkan 269 pada sesi pagi.

‘’Kami akan memastikan pertemuan dengan Tentera akan memuncakkan prestasi sebenar Kedah. Tunggu dan lihat,’’ kata pengurus Kedah, Feisal Tajuddin.

Bermula dengan lembap setelah dua keputusan mati halangan kaki, terutama terhadap kaptennya, Noor Ikhwan Rosle, Kedah melepasi tekanan awal apabila Syazrul Ezat dengan yakin menghayun tujuh pukulan enam untuk memperoleh sedikit kelegaan pasukan itu.

Skuad bawah 15 ternyata terperangkap awal apabila hanya mengumpulkan 35 larian untuk lima wiket sewaktu perlawanan direhatkan untuk sajian tengah hari dan terhenti ining pada kedudukan 50 selepas itu.

Negeri Sembilan bersemangat dengan rentak pukulan berikutan keseimbangan pemukulnya terutama sekali Aminuddin Ramly (39 larian) dan barisan muda lain seperti Fauzi Ariffin (38) dan Nik Azril Ariffin dengan 31.

Sabah yang sememangnya ‘penyokong kuat’ kejohanan ini tertiarap pada kedudukan 80 dengan pemain belasan tahun Azman Riduan melakukan 13 diikuti oleh tenaga lama; Sabarudin A. Salam (11) dan bekas pemain kebangsaan, Hatta Patombongi dengan 10.

KEPUTUSAN:

 

Kedah kalahkan skuad Remaja Bawah 15 dengan 105 larian.

Kedah 155 (28.2 over) Syazrul Ezat Idrus 97, Asyraf A. Rahman 14, Syafiq Shariff 10. Fitri Sham 3-41, Jazlan Jazmin 3-43, Nasiruddin Mazlan 2-26.

Bawah 15: 50 (22 over) Tajudin Ismail 9. Syazrul Ezat Idrus 4-14, Faizal Tokiran 3-25.

Pemain terbaik: Syazrul Ezat Idrus (Kedah)

 

Negeri Sembilan kalahkan Sabah dengan 189 larian.

Negeri Sembilan 269 (47.1 over) Aminudin Ramly 39, Fauzi Ariffin 38, Masrulnizam Masrom 35, NIk Azril Ariffin 31. Nadzyreen Hashim 3-49, Abit Amir 3-60.

Sabah 80 (22 over) Azman Riduan 13, Sabarudin A. Salam 11, Dodie Purwadie Yudie 11, Hatta Patombongi 10. Fendi Alias 3-30, Hafiz Zaman Huri 2-4, Saufi Salam 2-16, Nik Azril Ariffin 2-20.

 

Pemain terbaik: Nik Azril Ariffin (NS)

 

JADUAL:

 

Bawah 15 lwn Tentera

(Bayuemas Oval, 10 pagi)

 

Selangor-UKM lwn Sabah

(UKM Oval, 10 pagi)

 

 PENJAGA wiket Remaja Bawah 15, Ahmad Tajudin Ismail (kiri) bersedia di belakang kayu pancang dalam pertemuan menentang Kedah pada hari pertama Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja di UKM Oval, 4 Mac 2009.

PENJAGA wiket Remaja Bawah 15, Ahmad Tajudin Ismail (kiri) bersedia di belakang kayu pancang dalam pertemuan menentang Kedah pada hari pertama Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja di UKM Oval, 4 Mac 2009.