Tempat ketiga milik Colombo
Sunday, 06 December 2009 19:21
KLANG - Kedudukan ketiga menjadi milik University of Colombo apabila himpunan 261 larian merupakan angka tinggi untuk dilepasi Christ University dalam pertemuan Kriket Undangan Antara Varsiti Asia di Bayuemas Oval pada 5 Disember.
Melepasi pukulan 50 oleh Charith Hendawitharana menyaksikan juara bertahan dari Sri Lanka yang muram tahun ini memperoleh sagu hati apabila memenangi pertemuan dengan 104 larian menentang pasukan paling lemah dari India itu.
Berkedudukan teguh dengan angka tertinggi dalam pertandingan musim ini, University of Colombo menyekat kemaraan wakil dari Bangalore, India itu setakat 157-8 dalam over maksimum dengan pembaling Pramodh Fernando merangkul tiga wiket untuk 19 larian.
Pertemuan babak akhir berlangsung pada 6 Disember antara naib juara tahun lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia menentang pasukan terhebat saingan edisi kali ini, University of Chittagong dari Bangladesh.
Pertemuan pusingan awal memberi kelebihan kepada Chittagong dengan kemenangan empat wiket.
University of Colombo kalahkan Christ University dengan 104 larian.
University of Colombo 261 (50 over) Charith Hendawitharana 60, Chamal Rajapaksha 45, Lahiru Perera 28, Mehindu Ariyarathna 22. Chetan Daga 2-30, Jithain Kurian 2-31, Varun Vikraman 2-72.
Christ University 157-8 (50 over). Jasmeet Singh 54, Ankit Nagori kekal 24. Pramodh Fernando 3-19, Lahiru Perera 2-19.
Pemain terbaik: Charith Hendawitharana (Colombo)