Harapan kepada tujuh guru muda

PERSATUAN Kriket Melayu Malaysia yakin tujuh garduan lulusan pusat prestasi tinggi pertubuhan itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerja keras dalam merangka program pembangunan setelah melapor diri bertugas di sekolah masing-masing sejak 10 Jun 2020.

 

UKM yang merupakan antara pusat prestasi tinggi Kriket Melayu walaupun persatuan itu sudah menamatkan penumpuan sejak Ogos 2017 telah melahirkan ramai guru siswazah sejak persefahaman diwujudkan pada tahun 2007.

 

Tujuh pelajar yang melapor sebagai guru ialah Adzim Yahaya (Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara, Pulau Pinang); Nik Nabil Safwan Anuay (SMK Agama Persekutuan, Bentong, Pahang); Nazril A, Rahman (SMK Serting Hilir, Negeri Sembilan); Che Wan Razlan Zalati (SMK Agama Sultan Azlan Shah, Bota, Perak); Ahmad Fauzan Malik (SMK Sultan Abdul Samad, Klang, Selangor); Noor Afif Ahmad Saufee (SMK Pandamaran Jaya, Klang, Selangor) dan Fikri Makram Rosdi (SMK Kulai Besar, Johor).

 

Adzim, Noor Afif dan Fauzan merupakan pemain projek bawah 12 Pekan, Pahang dan dimasukkan ke Projek Kriket Nasional di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Nik Nabil juga daripada program di Victoria Institution.

 

Fikri Makram dan Che Wan Razlan daripada program Kota Bharu dan dihantar ke projek di Penang Free School. Nazril juga daripada program di Penang Free School yang terdahulu di pusat bawah 12 Bellamy-Victoria di Kuala Lumpur.

 

Ketujuh-tujuh pemain itu mengharungi program Pembangunan Kriket Remaja (sasaran bawah 12) dan Projek Kriket Nasional di bawah kelolaan Persatuan Kriket Melayu Malaysia. Sebaik sahaja pembangunan menengah, pemain projek itu akan belajar di tiga pusat prestasi tinggi Kriket Melayu sama ada di UKM, Universiti Teknologi Mara atau di Asia Pasific University; sebuah kolej swasta antara terbaik di Asia.

 

Yang Dipertua Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berharap ketujuh-tujuh akan memulakan tugas dengan baik dan bersedia untuk membangunkan kriket di sekolah masing-masing.

 

''Kriket Melayu membangunkan pemain dari peringkat bawah 12, peringkat menengah dan sampai ke pusat prestasi tinggi untuk menyediakan pemain terbaik membarisi pasukan nasional.

 

''Di samping membangunkan sukan, Kriket Melayu turut sama menyediakan kemudahan untuk pemain belajar di pusat pengajian tinggi dengan segala biasiswa,'' kata Ahmad Sarji.

 

Fikri Makram, Nazril dan Che Wan Razlan merupakan pemain utama kebangsaan manakala lima lagi merupakan pemain yang pernah mewakili pasukan peringkat usia nasional dan kekal dalam senarai pool utama.

 

FIKRI MAKRAM (kanan)... di SMK Kulai Besar, Johor.

ADZIM YAHAYA... melapor diri di SMK Sungai Ara, Pulau Pinang. 

NIK NABIL... SMK Agama Persekutuan, Bentong.


NAZRIL A. RAHMAN... SMK  Serting Hilir, Negeri Sembilan.

NOOR AFIF SAUFEE... SMK Pandamaran Jaya, Klang.


CHE WAN RAZLAN (dua dari kiri)... di SMK Agama Sultan Azlan Shah, Bota, Perak