Kemenangan besar Selangor untungkan Kelantan
Sunday, 15 March 2020 16:48
KEMENANGAN Selangor ke atas Perlis dengan lapan wiket dalam aksi 14 dan 15 Mac 2020 di Bayuemas Oval memberi kelebihan kepada Kelantan untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri.
Kelantan memiliki kelebihan tipis; 0.29 mata setelah Perlis hanya melakukan 100 larian dalam ining kedua sekali gus meletakkan sasaran 22 untuk Selangor melonjak ke tangga paling atas Kumpulan B pertandingan merebut Perisai Raja-Raja musim 2020.
Pasukan Pantai Timur itu hanya mengumpulkan 18.6 mata dan atas kertas sudah seakan-akan sukar untuk mara tetapi kegarangan Selangor yang mengisytiharkan 205-7 dalam ining pertama telah mengubah strategi permainan hari kedua.
''Kami tidak menjangka terkeluar seawal peringkat ini juga tidak meramalkan strategi Selangor membuat deklarasi pada angka 205 menghadiahkan malapetaka kepada Perlis dan menghidupkan semula kemaraan Kelantan,'' kata pengurus Perlis, Azmi Jaafar.
Juara Kumpulan A, Tentera bertemu Kelantan dalam separuh akhir pertama pada 6-7 Jun manakala Selangor menentang juara tahun 2018 dan 2019, Negeri Sembilan, 13 dan 14 Jun 2020.
Ketua kontinjen Selangor, Zulimy Ariffin tidak menafikan cabaran menyeksa bakal diharungi Selangor dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan tetapi tetap melaungkan keyakinan berpandukan kepada barisan mantap musim ini.
KEPUTUSAN:
Selangor kalahkan Perlis dengan 8 wiket.
Ining pertama:
Perlis 126 (44 over) Ammar Rusli 35; Elmi A. Rahman 35; Salammuddin Sharip 14; Mahyudin Mansor 13. Faizshal Niaz-Lyn 5-17; Norhamizan Hamidon 4-17.
Selangor 205-7 dec. (52.4 over) Amdam Wiliyoh 64; Norhamizan Hamidon 39; Zubaidi Zulkifle 26; Ammar Uzair Fakri 20; Faizshal Niaz-Lyn 17. Qayyum Khan Blukeni 2-15; Ammar Rusli 2-28; Hafizuddin Ghafar 2-33.
Ining kedua:
Perlis 100 (42.5 over) Hafizuddin Ghafar 22; Razman Zabri 21; Fauzi Ariffin 11; Salammuddin Sharip 11; Mubin Salahuddin 10. Norhamizan Hamidon 3-17; Trisman Rudi 3-24; Faris Almas-Lee 2-15.
Selangor 22-2 (5.2 over)
Pemain terbaik: Norhamizan Hamidon (SEL)
Pengadil: Mathan Kumar Muniandy (SEL) & Poobalan Loganathan (PEN)
NORHAMIZAN HAMIDON (kiri) menerima kalungan pingat sebagai pemain terbaik pertemuan Selangor menentang Perlis di Bayuemas Oval, 14 dan 15 Mac 2020.