NS kecundang tetapi masih layak ke separuh akhir

NEGERI SEMBILAN yang cemerlang dua tahun sebagai juara Kejohanan Kriket Melayu Antara Negeri digegar dengan kekalahan sepuluh wiket kepada Tentera dalam pertemuan pusingan awal 7 dan 8 Mac 2020 di Bayuemas Oval. 

Apapun  juara tahun 2018 dan 2019 itu  masih layak untuk beraksi dalam separuh akhir Jun 2020 apabila menduduki tangga kedua Kumpulan A. Kedah di tempat ketiga.

Tentera mengetuai kumpulan apabila turut menang besar ke atas Kedah dengan ining dan 120 larian awal Februari lepas.

''Kami kurang bernasib kerana keadaan lapangan tengah yang sukar dalam ining pertama. Aksi kami teruk dan angka 41 yang dikumpulkan cukup memalukan,'' kata ketua pasukan Negeri Sembilan Fhadli Ishak.

Sebaik selesai pukulan Negeri Sembilan, Tentera memastikan angka 188 dan seterusnya mengejar dalam ining berikutnya dengan hanya sasaran 28 larian untuk menang.

Selangor akan bertemu Perlis bagi penentuan juara Kumpulan B pada 14 dan 15 Mac; juga di Bayuemas Oval.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia menganjurkan kejohanan bagi merebut Perisai Raja-Raja itu secara tahunan sejak tahun 1951.

KEPUTUSAN:

Tentera kalahkan Negeri Sembilan dengan 10 wiket.
 
Ining pertama:
Negeri Sembilan 41 (16.2 over)  Amir Azim Shukor 11. Wafiq Irfan Zarbani 5-19; Asby Tan Aris 4-21.
Tentera 188 (50 over) Norwira Zazmie A. Halim 69; Shafiq Sharif 39; Haziq Hashim 27. Amir Azim Shukor 3-51; Ainool Hafizs Yatim 2-17.
 
Ining kedua:
Negeri Sembilan 174 (44.1 over)  Ainool Hafizs Yatim 54; Faqhrul Asyraf Nordin 28; Azwar Tajri 22; Rashid Ahad 5-55; Syahadat Ramli 2-23.
Tentera 28-0 (3.4 over)  Hairil Anuar kekal 23.
 
Pemain terbaik: Norwira Zazmie A. Halim (TEN)
Pengadil: Sivan Narayanan (PER) & Poobalan Loganathan (PEN)