Berakhirnya pengorbanan Mir Shahariman

DATUK MIR SHAHARIMAN MIR SHAHARUDDIN; arkitek ternama dan individu yang banyak berjasa kepada Persatuan Kriket Melayu Malaysia meninggal dunia pagi 20 Februari 2020 di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Tiga minggu lepas Mir Shahariman, 80, Naib Yang Dipertua Kriket Melayu tidak sihat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). 

Jenazah dibawa balik ke halaman asal di Kampung Padang Tenggala, Bota di Perak untuk disemadikan di perkarangan Masjid Raisiah yang dibina semula Allahyarham beberapa tahun lepas.  

Tugas paling akhir Allahyarham kepada Kriket Melayu ialah perancangan melaksanakan ubahsuai sebuah rumah yang bakal dijadikan galeri sejarah pertubuhan itu yang banyak memberikan kenangan kepadanya.

Mir Shahariman bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar merupakan antara individu awal yang ditaja kerajaan mengambil pengajian arkitek di Australia. 

Antara hasil kerjanya ialah kewujudan Kompleks Dayabumi yang dibina di kawasan gudang Keretapi Tanah Melayu.  

Selepas bersara Allahyarham masih meneruskan minat dalam seni bina dan terus merekabentuk menerusi firma Mir Shahariman Architect.

Dalam kriket, Mir Shahariman beraksi sebagai seorang pembaling separuh pantas dan banyak mewakili Selangor sejak tahun 1960-an. Antara aksi hebat Allahyarham ialah dalam saingan merebut Perisai Raja-Raja, Perisai Menteri Besar dan pelbagai pertandingan mewakili Melayu Malaysia menentang Sikh, Eurasian dan Ceylon Malaysia.

Mir Shahariman terus membantu selepas penubuhan semula Persatuan Kriket Melayu Malaysia (1992) dan menjadi naib yang dipertuanya sejak tahun 2000 hinggalah sekarang. Sebelum itu Allahyarham sering diberi tugas sebagai pengurus pasukan Melayu Malaysia.

Allahyarham antara pencetus cadangan menganjurkan Kejohanan Kriket Trofi Melayu Antarabangsa sebagai perancangan mematangkan pemain tempatan bersaing dengan peserta dari negara elit dunia. Setelah Sri Lanka bersetuju bermain pada tahun 1999, Mir Shahariman telah ke Cape Town, Afrika Selatan  tahun 2000 untuk berunding dengan kumpulan Melayu Cape. Ia berhasil dan Melayu Afrika Selatan bersaing di Kuala Lumpur setahun kemudian.

Mir Shahariman juga merupakan arkitek yang membina sebahagian daripada gelanggang kriket antarabangsa di Bayuemas Oval untuk Golden Hope Plantations akhir tahun 1990-an dulu. Seni binanya cukup indah dan mengagumkan. Kriket Melayu diberi peluang memajak Bayuemas Oval sehinggalah ke hari ini.

Allahyarham banyak menabur jasa dan masa untuk Kriket Melayu tanpa memohon ganjaran dan kepada 'orang-orang kriket' selalulah mengenang jasanya.

Pengorbanannya berakhir tetapi penghormatan kepadanya amatlah tinggi. 

Alfatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat.


Mir Shahariman.


MIR SHAHARIMAN (kanan) bersama rakan karib dari Cape Town, Yaseen George sewaktu pertandingan Trofi Melayu Antarabangsa IV di Afrika Selatan tahun 2002.