NS menang; Kedah semakin bertenaga
Tuesday, 14 January 2020 17:13
KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan menumbangkan Kedah dengan enam wiket dalam pertemuan pembukaan kriket antara negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja di Bayuemas Oval, Klang pada 11 dan 12 Januari 2020.
Apa pun juara bertahan itu menerima cabaran lebih hebat daripada Kedah berbanding tahun 2019; di mana pasukan utara berkenaan cuma menayangkan aksi lesu.
Selepas dipaksa memukul terdahulu oleh Negeri Sembilan sebaik sahaja tumpas undian, Kedah hanya bertahan setakat 86 larian. Negeri Sembilan yang berhasrat memburu kemenangan ining gagal menghimpun angka besar dalam sesi pertama.
Setelah mendahului ining pertama dengan 92 larian, Kedah memukul dengan lebih yakin pada 12 Januari sehingga 140 dalam 70 over tetapi ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan Negeri Sembilan.
''Kami tidak menang tetapi Kedah berpuas hati kerana menampilkan kemajuan dalam ining kedua. Walaupun tanpa bintang utama seperti Ahmad Faiz Mohd. Noor, kami masih bertenaga,'' kata pengurusnya Kamil Khirodin.
Kelantan pula akan berentap dengan naib juara 2019, Selangor dalam pertemuan minggu depan; juga di Bayuemas Oval.
Persatuan Kriket Melayu Malaysia menganjurkan kejohanan format dua ining ini sejak mula diperkenalkan pada tahun 1951.
KEPUTUSAN:
Negeri Sembilan kalahkan Kedah dengan 6 wiket.
Ining pertama:
Kedah 86 (44 over) Nazri Noor 33; Rosman Zakaria 16; Arief Yusof 14. Amir Azim Shukor 4-22; Ainool Hafizs Yatim 2-16.
Negeri Sembilan 178 (52.4 over) Amir Azim Shukor 45; Masrulnizam Masrom 43; Hadi Halem 28; Azwar Tajri 20; Fhadli Ishak kekal 18. Nazri Noor 4-37; Muizzuddin Ridzuan 2-16; Norshahrizat Nordin 2-30.
Ining kedua:
Kedah 140 (70 over) Norshahrizat Nordin 63; Syafiq Shariff 48; Arief Yusof 11. Azwar Tajri 4-19; Masrulnizam Masrom 4-35; Nur Ainoll Aziz 2-16.
Negeri Sembilan 50-4 (10.4 over) Hadi Halem 15; Amir Azim Shukor 12; Azwar Tajri kekal 11; Muizzuddin Ridzuan 2-10.
Pemain terbaik: Amir Azim Shukor (NS)
Pengadil: Rudy Ismandi Mansor (SAR) & Denish Sevakumaran (SEL)
AMIR AZIM SHUKOR (kiri) menerima anugerah pemain terbaik perlawanan daripada kurator Bayuemas Oval, Sivan Narayanan.