Aksi bawah 19 bermula di Cape Town
Tuesday, 07 January 2020 15:21
KUALA LUMPUR: Perancangan untuk menganjurkan saingan kriket bawah 19 antarabangsa yang membabitkan Persatuan Kriket Kelantan dan Kelab Kriket Ottoman dari Afrika Selatan semakin menjadi kenyataan.
Dalam pertemuan dan perbincangan di Kuala Lumpur 4 Januari 2020, Yang Dipertua Kriket Kelantan, Datuk Azmi Mohd. Ali telah mengumumkan persatuan itu akan menghantar pasukan bawah 19 ke Cape Town, Afrika Selatan bagi menyaingi skuad tuan rumah September ini.
Di samping itu, Presiden Ottoman CC, Rydwaun Salie berpendapat bahawa kejohanan itu cukup bermakna jika mencapai kesepakatan dengan Persatuan Kriket Singapura (SCA) kerana ia dapat dianjurkan di tiga negara berasingan.
Perbincangan berkenaan juga menetapkan pertandingan berlangsung dua tahun sekali dan ia bakal memberi pendedahan berguna kepada pemain peringkat usia itu sebelum terdedah kepada pasukan utama kelak.
Terdahulu Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah memulakan saingan Trofi Melayu Antarabangsa sejak tahun 1999 yang membabitkan Melayu Afrika Selatan, Melayu Sri Lanka dan Melayu Malaysia. Dua kategori diperkenalkan; acara senior dan bawah 15. Apa pun perhitungan bawah 15 direhatkan manakala acara senior masih diteruskan.
''Ini peluang terbaik Kriket Kelantan untuk memberikan pendedahan berguna,'' kata Azmi; peguam dan tokoh korporat ternama.
Pengerusi Ottoman CC, Fareed Abrahams pula mengalu-alukan pertandingan seperti itu dan September merupakan tarikh bersesuaian sebelum liga tempatan bermula pada bulan berikutnya.