Gabungan Kriket Malaysia diminta jangan gentar
Wednesday, 20 November 2019 17:21
KUALA LUMPUR: Semua ahli gabungan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) diminta serius dalam membangunkan kriket apabila pencapaian pasukan negara dalam permainan itu terus merosot buat masa ini.
Mengumumkan perkara itu secara serius, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob berasa malu sesudah aksi Malaysia di peringkat antarabangsa sudah tidak ketentuan lagi.
''Demi sukan kriket, apa sudah jadi dengan pembangunan dan penumpuan MCA. Dahulu bercakap besar tetapi kini nama Malaysia dalam pertandingan ternama terus tenggelam,'' katanya.
Dengan tidak ingin dibandingkan dengan pertandingan kelas rendah, Malaysia suatu ketika lalu merupakan negara digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah di kalangan negara bukan test di rantau Asia.
Beliau mahu MCA mencermin diri sendiri sama ada mereka mampu melakukan pembangunan yang wajar atau hanya bercakap besar sahaja.
''Saya lihat MCA cuma menumpang nama sekolah dengan melancarkan program yang dianggap indah khabar sahaja.
''Ini tidak akan menghasilkan pembangunan sebetul-betulnya jika ia tidak tertumpu dari pembangunan bawah 12 dan seterusnya ke menengah dengan kemantapan projek menerusi jurulatih bertauliah,'' kata Wan Rahman; bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya.
Prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa sekarang sudah pun sukar menandingi Singapura; sebuah pasukan yang tidak digeruni Malaysia beberapa tahun lepas.
Dalam pertandingan peringkat usia pun, skuad Malaysia kini seakan-akan pasukan belasahan sahaja. Dalam aksi perempuan, Thailand sudah jauh mendahului Malaysia apabila pasukan itu layak ke pusingan akhir Piala Dunia T20 di Australia Januari 2020. Dalam ranking dunia pasukan perempuan Thailand kini di tangga ke-10.
Bekas Setiausaha Persatuan Kriket Negeri Sembilan, Selvanathan Subramaniam pula menggesa semua gabungan MCA menyuarakan ketidakpuasan dalam mesyuarat majlis akan datang tanpa gentar.
Ahli gabungan perlu membangkitkan isu pembangunan, elaun jurulatih tempatan dan pewujudan projek kriket negeri yang sehingga sekarang bagai melepas batuk di tangga.
''Saya hanya nampak MCA suka menganjurkan kejohanan yang berteraskan wang sahaja.
''Mereka suka kendali pertandingan dengan mengenakan syarat wang penyertaan yang besar bukan mendahulukan pertandingan untuk membangunkan pemain. Mana ada kejohanan kebangsaan seperti dahulu?.''
Selvanathan yang juga aktif sebagai pengacara program antarabangsa mahu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman agar mengawasi MCA yang lebih pandai bercakap sahaja.
WAN RAHMAN YAACOB (kiri) bersama Setiausaha Agung Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah.
SELVANATHAN... bekas Setiausaha Kriket Negeri Sembilan.