Mir Shahariman ketawa besar amaran Kriket Malaysia

KUALA LUMPUR - Enam pasukan yang bersetuju bertanding dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja tahun depan dinasihat bertanding dengan penuh semangat kesukanan termasuk mematuhi keperluan dan syarat pertandingan.

Naib presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia Datuk Mir Shahariman Shaharuddin dengan tegas memberi amaran agar semua pasukan menyenaraikan pemain terbaik agar kejohanan berlangsung dalam kelas tersendiri.

Pasukan yang akan bertanding tahun depan ialah Kelantan, Negeri Sembilan (juara bertahan), Selangor, Kedah, Tentera dan Perlis.

''Saingan merebut Perisai Raja-Raja merupakan kejohanan kriket tertua di Malaysia yang dimulakan sejak tahun 1951 lagi jadi janganlah pihak lain termasuk Persatuan Kriket Malaysia mahu mengeluarkan peraturan sendiri,'' katanya.

Sejak dua tahun lalu, Kriket Malaysia memberikan amaran kepada pemain bertaraf kebangsaan agar tidak mengambil bahagian kerana kejohanan itu bukan dalam kalendarnya. Juga diberi amaran jika ada pemain menyertai saingan itu, mereka akan dinafikan membarisi pasukan kebangsaan.

Mir Shahariman yang telah mewakili Selangor dalam pertandingan Perisai Raja-Raja pada tahun 1960-an lalu ketawa besar dengan 'peraturan' yang dikenakan Kriket Malaysia itu.

''Pernahkan Kriket Malaysia menganjurkan pertandingan kebangsaan berkualiti dan memanfaatkan pemain kebangsaan buat masa ini? 

''Hampir semua pemain kebangsaan yang ada sekarang pun dilahirkan menerusi program Kriket Melayu; jadi apakah mereka ini tidak boleh menyertai kejohanan yang memberi pendedahan kepada pemain nasional ini? 

''Juga apa kaitan kejohanan ini berada dalam kalendar Kriket Malaysia atau sebaliknya? Mereka bukan pernah menajanya dan Kriket Melayu merupakan sebuah badan yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan antara keutamaan ialah menganjurkan kejohanan untuk disertai pemain.''

Mir Shahariman menasihatkan kepemimpinan Kriket Malaysia agar cuba memuncakkan prestasi pasukan kebangsaan menerusi pelbagai program pembangunan yang difahamkan gagal dilaksanakannya.

''Janganlah nak buat sibuk kerana pemain hauskan kejohanan berkualiti seperti pertandingan Perisai Raja-Raja yang berlangsung dalam format dua ining.''

Pertarungan merebut Perisai Raja-Raja menelan belanja hampir RM60,000 setiap tahun dengan semua pemain yang menyertai terdedah dalam bahang perlawanan yang menguji kemantapan dalam aksi dua ining itu. 

Antara pemain yang pernah mengukir nama dalam Perisai Raja-Raja sejak tahun 1950-an itu ialah penghibur Datuk Ahmad Daud Md. Hashim; peguam ternama Taha Kalu; pendidik tersohor Datuk Aziz Ismail dan pemain hoki nasional Ismail Ali, Abu Bakar Said, Alwi Zaman.

Kejohanan tahun depan bermula 11 Januari hingga 31 Ogos. Babak akhir berlangsung selama tiga hari.