Tentera tiada masalah bariskan pemain nasional

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera akan membariskan pasukan utamanya dalam saingan kriket antara negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja musim 2020.

Pengerusi Kriket TUDM yang bertanggungjawab ke atas skuad Tentera, Kolonel (U) Norazman Ismail mengakui kegagalannya menyenaraikan pasukan utama dalam saingan tahun ini telah mengakibatkan pasukannya hanya menduduki tangga keempat.

Negeri Sembilan mengekalkan kejuaraan manakala Selangor; naib juara 2019 manakala Perlis di tempat ketiga.

''Saya faham kedudukan 2019 amat mengaibkan jika dinilai daripada prestasi Tentera yang pernah menjuarai perhitungan Perisai Raja-Raja.

''Kegagalan menyenaraikan pasukan utama berikutan arahan daripada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yang enggan membenarkan pemain kontraknya bermain dalam pertandingan anjuran Kriket Melayu,''

Tentera memiliki ramai pemain yang mewakili pasukan nasional dengan sebahagian besarnya lahir menerusi program pembangunan Kriket Melayu.

Difahamkan langkah MCA itu antaranya untuk menunjukkan kepada umum siapa lebih kuat dalam kepemimpinan kriket di Malaysia berbanding peluang yang diberikan oleh Kriket Melayu menerusi pertandingan berkualiti seperti saingan Perisai Raja-Raja yang dianjur secara tahunan sejak tahun 1951.

Apa pun arahan atau ketetapan MCA kemudian, Tentera berjanji akan memastikan kegarangan untuk merangkul gelaran juara tahun depan berhasil terutama membariskan pasukan terbaiknya termasuk semua pemain kebangsaan yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera.

Pengerusi Pertandingan Kriket Melayu, Rashid Yasin mengalu-alukan komitmen Tentera dalam penyertaannya tahun 2020 dan berharap ia tidak terperangkap menerusi umpan MCA.

''Di samping pernah merangkul Perisai Raja-Raja, Tentera sering mara ke babak akhir. Mereka perlu bangkit daripada aksi memalukan tahun 2019 untuk kembali mengukir nama,'' kata Rashid, guru yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan.

Dalam mesyuarat majlis pertandingan Kriket Melayu 23 September 2019, Kelantan pula akan diminta menyertai pertandingan 2020 walaupun tidak mengambil bahagian pada tahun 2019.

Rashid kesal jika Kelantan enggan mengambil bahagian kerana jangkaan mereka tidak akan mendapat tajaan.

''Kelantan merupakan sebuah persatuan kriket negeri yang banyak menyimpan wang dan antara yang kaya. Mereka memiliki ramai 'orang besar' yang memegang jawatan tinggi baik di sektor swasta atau kerajaan. 

''Dari sudut pemain, Kelantan berbekalkan pemain hebat dan ramai juga yang sudah dan sedang mewakili negara,'' kata Rashid.