Bayuemas terkeluar, Seremban ke perlawanan akhir

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Bayuemas terhenti kemaraan untuk bersaing dalam babak akhir Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan setelah tumpas kedua-dua perlawanan pusingan pertama di Bayuemas Oval, Klang 4 Ogos 2019.

Pasukan dari Selangor itu kalah kedua-dua perlawanan; 48 larian kepada Seremban dan seterusnya tumpas sembilan wiket kepada wakil Johor, Parit Jawa.

Seremban dari Negeri Sembilan mara ke perlawanan akhir 6 Oktober ini setelah menang kedua-dua perlawanan termasuk membaham Parit Jawa dengan 95 larian.

''Kami akan merehatkan pembabitan Bayuemas buat sementara waktu. Pemain dan ibu bapa meminta program latihan dihentikan untuk meninjau masa depan pembangunan kriket di Malaysia. 

''Selepas Persatuan Kriket Melayu Malaysia menghentikan programnya sejak akhir 2017, ibu bapa berada dalam dilema ke mana boleh menyambung penyertaan anak-anak mereka di peringkat menengah,'' kata penyelaras Bayuemas, Redzuan Shahadan.

Parit Jawa yang menjuarai Perisai Tun Ahmad Sarji pada tahun 2015 juga tidak setanding dahulu setelah kehilangan jurulatih ternama Abdul Salim Hussin; difahamkan terpaksa berehat kerana masalah kesihatan.

''Kami bersedia untuk bersaing dengan siapa sahaja dalam babak akhir,'' kata penasihat Seremban, Harith Shariff.

Tiga lagi pasukan yang akan bertarung sebelum bertemu Seremban ialah Machang (Kelantan), Ipoh dan Sepang (Selangor).

KEPUTUSAN (PUSINGAN PERTAMA)

Seremban kalahkan Bayuemas dengan 48 larian. 
Seremban 92-5 (15 over) Hadiff Irfan Irwan 24, Azib Wajdi Zainuddin 16, Aalif Shamsul Bahrin 16, Nabil Yusri kekal 11. Ridzuan Hafiz 1-10.
Bayuemas 44-7 (15 over) Ammar Aiman Haizad 22. Nurhaiqal Zainuddin 2-0, Hadiff Irfan Irwan 2-8, Aalif Shamsul Bahrin 2-9.
Pemain terbaik: Hadiff Irfan Irwan (Seremban)


Parit Jawa kalahkan Bayuemas dengan 9 wiket.
Bayuemas 88-7 (15 over) Ammar Aiman Haizad 39, Kaviyarasan Sivan 11. Aiman Hanafi Ghazali 2-8, Syahmi Rozi 2-9.
Parit Jawa 89-1 (11.3 over) Amzar Iqbal Mad Alwi kekal 42, Shafirul Azrul Saiful 13.
Pemain terbaik: Amzar Iqbal Mad Alwi (Parit Jawa)


Seremban kalahkan Parit Jawa dengan 95 larian.
Seremban 131-1 (15 over) Aalif Shamsul Bahrin kekal 60, Faris Iskandar Rizal kekal 54.
Parit Jawa 36 (10.5 over) Afdlin Asyraf Usyny 4-3, Hadiff Irfan Irwan 4-12.
Pemain terbaik: Aalif Shamsul Bahrin (Seremban)
(Semua perlawanan di Bayuemas Oval)