Negeri Sembilan mohon bantuan Kriket Melayu
Thursday, 25 July 2019 23:26
DUA pegawai utama Persatuan Kriket Negeri Sembilan mengadakan pertemuan rahsia dengan Setiausaha Agung Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Rosmanizam Abdullah untuk memohon bantuan dalam pembangunan kriket yang semakin tenat.
Perbincangan serius hampir enam jam sehingga pukul 2 pagi, 23 Julai 2019 di ibu pejabat Kriket Melayu dihadiri Presiden Kriket Negeri Sembilan, Senathiraj Thevaratnam dan setiausahanya Lionel Anthony Rajoo.
Sejak Kriket Melayu menghentikan program pembangunan serentak di seluruh negara pada 16 Ogos 2017, pencapaian kriket di Malaysia merosot dengan ranking di peringkat antarabangsa menjunam.
Senathiraj yang turut menyertai program pembangunan bawah 12 Kriket Melayu pada tahun 1999 terpaksa berjumpa dengan Rosmanizam yang telah mengetuai program pembangunan kriket nasional kendalian Kriket Melayu itu.
''Kami mahukan Kriket Melayu memulakan program itu semula. Kriket di Malaysia semakin tenat walaupun hanya dua tahun Kriket Melayu menamatkan programnya.
''Kami tiada jalan lain kecuali memohon pertimbangan Kriket Melayu untuk memajukan kriket di negara ini,'' katanya.
Kriket Melayu yang menguasai program pembangunan dari pembangunan bawah 12, projek nasional peringkat menengah hingga ke pusat prestasi tinggi di tiga universiti tempatan telah melahirkan hampir semua pemain nasional dan peringkat usia kebangsaan dalam jangkamasa 15 tahun.
Pembangunan Kriket Melayu ini yang merangkumi semua kaum turut sama menganjurkan pelbagai kejohanan tempatan serta antarabangsa berkaitan programnya. Persatuan itu juga menyediakan pendedahan antarabangsa setiap tahun khusus bagi kumpulan bawah 14 ke Sri Lanka, perempuan ke Chiang Mai di Thailand dan skuad bawah 18 ke Perth untuk lima perlawanan ujiannya.
Tidak terkecuali itu, program paling besar yang sukar ditandingi ialah penempatan jangka panjang pemain daripada Kriket Melayu ke aksi liga tempatan di Afrika Selatan, Sri Lanka, Australia dan England sejak 2013 hingga 2017.
Berikutan campur tangan banyak pihak, Kriket Melayu difahamkan tidak berminat untuk meneruskan programnya pada suku ketiga tahun 2017 dan buat masa ini hanya bergiat secara kecil-kecilan antaranya menganjurkan saingan antara negeri merebut Perisai Raja-Raja yang dikendalikan secara tahunan sejak 1951.
Senathiraj yang pernah menjadi pengurus pasukan bawah 19 negara amat kecewa dengan prestasi pasukan itu buat masa ini yang tidak menampakkan kamatangan dalam permainan.
''Sewaktu Kriket Melayu menguasai program pembangunan dahulu, setiap pusat bagi program menengah dan pusat prestasi tinggi disediakan jurulatih luar negara yang amat berkualiti dari Sri Lanka, Bangladesh serta Australia. Tahap kejurulatihan mereka tinggi,''
Katanya, di pusat prestasi tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jurulatih yang disediakan merupakan tenaga yang benar-benar sesuai untuk tahap itu.
''Kini dalam dua tahun semua jurulatih yang disediakan aoleh Kriket Melayu sudah pulang ke negara masing-masing.
Walaupun Kriket Melayu enggan memberi kata putus, Rosmanizam berjanji membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat majlis ke-56 Kriket Melayu pada 21 Ogos 2019 yang bakal dipengerusikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Kriket Melayu difahamkan telah membelanjakan hampir 20 juta dalam program pembangunan nasionalnya sehinggalah ia direhatkan dua tahun lepas.