Seremban ratah Kampung Gelam dengan larian tertinggi
Saturday, 13 July 2019 20:16
SEREMBAN memulakan aksi menggerunkan pencabar apabila meratah Kampung Gelam dari Melaka dengan 273 larian dalam pertemuan kelayakan Kriket Elit Bawah 12 di Bayuemas Oval, 13 Julai 2019.
Setelah memenangi undian dan bergegas untuk memukul, Seremban berkedudukan cemerlang dengan mengumpulkan 77-0 (lapan over) dan 182 sewaktu 16 over. Faris Iskandar Rizal melakukan 128 manakala pemukul ketiga, Aalif Shamsul Bahrin kekal 107 hanya menerusi 47 serbuan.
''Saya tidak menjangka angka Seremban dapat dikumpulkan sehingga 307 larian dalam 25 over. Ini menakjubkan dan kami bersedia untuk mengetuai Kumpulan A dalam pusingan pertama awal bulan Ogos ini,'' kata pengarah kejurulatihan Seremban, Azman Ahmad Tajri.
Angka Seremban memerupakan pungutan larian tertinggi dalam sejarah kejohanan bagi merebut Perisai Tun Ahmad Sarji sejak dianjurkan pada1999. Angka kedua tertinggi pertandingan dicatat oleh Parit Jawa dengan 233-4 sewaktu mengatasi Gemencheh dengan 160 larian pada 2016.
Kampung Gelam tidak bertahan lama dalam sesi memukul. Pukulan mereka terhenti setakat 34 larian dalam 11.4 over.
Dengan kemenangan itu, Seremban layak bersaing dalam Kumpulan A bersama Bayuemas (Selangor), Parit Jawa (Johor) pada 4 Ogos di Bayuemas Oval bagi menentukan wakil yang bakal berentap dalam perlawanan akhir 6 Oktober.
Kumpulan B mengandungi Machang (Kelantan), Ipoh dan sama ada Kuala Langat atau Sepang.
KEPUTUSAN:
Seremban kalahkan Kampung Gelam dengan 273 larian
Seremban 307-2 (25 over) Faris Iskandar Rizal 128; Aalif Shamsul Bahrin kekal 107; Amirul Zaquan Abdullah kekal 12.
Kampung Gelam 34 (11.4 over) Iqram Nurhasan Zahari 14. Faliq Alauddin Tarmimi 3-13; Hadiff Irfan Irwan 2-7; Afdlin Asyraf Usyny 2-9.
Pemain terbaik: Faris Iskandar Rizal (Seremban)
Pengadil: Faizshal Niaz-Lyn (KL) & Fadzrin Kate-Lee (KL)