Kumpulan baharu dibentuk, menuju kecemerlangan

KUALA LUMPUR - Majlis Kecil Pertandingan Persatuan Kriket Melayu Malaysia dirombak secara keseluruhan bagi memantapkan perancangan sehingga awal tahun 2020.

Dalam mesyuarat di ibu pejabat persatuan itu di Bukit Petaling, Kuala Lumpur petang 4 Julai 2019, bekas penyelaras program bawah 12 Bertam Malim, Melaka, Rashid Yasin dipilih sebagai pengerusi baharu.

Rashid yang turut berpengalaman menguruskan pasukan peringkat usia pertubuhan itu akan berpadu tenaga dengan Azman Ahmad Tajri yang dilantik setiausaha.

Turut sama berada dalam majlis kecil itu ialah pelajar pusat prestasi tinggi, Hadi Halem, Zulkhairi Che Mi, Ammar Uzair Fakri dan Azwar A. Tajri. Pengadil muda bertauliah Faizshal Niaz-Lyn juga menganggotai jawatankuasa itu.

Rashid yakin tenaga muda itu akan memacu kecemerlangan terutama apabila diberi peluang menguruskan majlis kecil itu.

''Mereka akan menerima garis panduan secara profesional dalam merangka serta menguruskan pelbagai jenis pertandingan,'' katanya.

 Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kriket Melayu, M. Najib Hassan mengumumkan bahawa mesyuarat majlis khas pertubuhan itu akan berlangsung 10 Julai 2019 bagi meluluskan belian beberapa hartanah yang diusulkan sewaktu mesyuarat agung tahunan April lepas.

''Kriket Melayu telah memperuntukkan jumlah tinggi untuk belian hartanah ini sebagai pelaburan jangka masa panjang,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib juga meminta Persatuan Kriket Malaysia (MCA) agar segera menumpukan kegiatan pembangunan secara serius.

''Sejak Kriket Melayu menghentikan semua program pembangunan di seluruh negara dua tahun lalu, MCA masih gagal melaksanakan pusat yang boleh melahirkan pemain hebat,'' katanya.

Najib herharap menteri yang berkaitan boleh menilai keupayaan sebenar MCA sekarang.

 

RASHID YASIN