Kriket: Kelantan perlu jurulatih tambahan di Gua Musang

PERSATUAN Kriket Negeri Kelantan akan memohon jurulatih tambahan untuk membangunkan lebih 100 pemain remaja di bawah program pembangunan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (TIP) di Gua Musang. 

Setiausaha Kriket Kelantan baharu, Ummi Mariza Che Ya tegas mengumumkan keperluan persatuannya dan akan menulis kepada Persatuan Kriket Malaysia untuk mendapatkan seorang jurulatih balingan bagi ditempatkan di Gua Musang Julai ini.

''Kami memerlukan Priyankara Wickramasinghe, jurulatih pakar yang boleh melahirkan ramai pemutar kiri di Gua Musang. Saya mahu sekurang-kurangnya 40 pemutar yang berbisa, '' kata Ummi Mariza; juga oengetua sekolah berkenaan pada mesyuarat agung tahunan Kriket Kelantan.

Buat masa ini Kriket Malaysia telah menempatkan jurulatih berasal dari Pakistan, Khizar Hayat Durrani yang banya dikhususkan kepada latihan memukul sahaja.

Mesyuarat agung Kriket Kelantan berlangsung di Kuala Lumpur, 26 April 2019 juga telah mengekalkan peguam ternama, Datuk Azmi Mohd. Ali sebagai presiden manakala Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Datuk Zamri Ismail sebagai orang No. 2.

Bekas setiausaha, Rashid Mustafa pula dipilih menduduki jawatan naib presiden bersama Nik Anuay Abdullah. 

Di samping itu, Kelantan disahkan menyertai pertandingan liga kriket kebangsaan atas dasar semua pemain program pembangunannya sudah berada di tahap tinggi buat masa ini.

Antara pemain yang sudah berada dalam kumpulan pemain bertaraf nasional ialah Fikri Makram Rosdi, Che Wan Razlan Zalati, Faiz Ahmad Nasir, Mahathir Razali dan Amiruddin Azahar. Fikri Makram pernah bermain dalam Liga Australia Barat dan Western Province (Afrika Selatan) manakala Che Wan Razlan di Australia. Kedua-dua pemain itu berada dalam program prestasi tinggi Persatuan Kriket Melayu Malaysia sebelum ini.

Kriket Kelantan juga bakal memperhebatkan tabungan berpandukan kepada perancangan serius daripada presidennya yang turut memegang jawatan penting dalam sektor korporat dan kerajaan.

Ummi Mariza  memberitahu, alamat berdaftar Kriket Kelantan dipindahkan ke Gua Musang dan yakin anggota majlis baharu dapat melaksanakan tugas dengan sempurna dan cemerlang. 

MAJLIS KRIKET KELANTAN 

(2019-2021)

 

Presiden: Datuk Azmi Mohd. Ali

Timbalan Presiden: Datuk Zamri Ismail

Naib Presiden: Rashid Mustafa; Nik Anuay Abdullah

Setiausaha: Ummi Mariza Che Ya

Penolong Setiausaha: Sahrul Hisam Salleh

Bendahari: Ariff Mat Nawi

Ahli Majlis Biasa: Mat Rani Seman, Wan Ridhauddeen Rashid, Yusoff Abdullah, Ariza Ariffin, Sabri Nawi, Zainuddin Harun, Rusdi Ahmad 

Juruaudit Dalam: Ezzriman Abdullah, Zulkifli Muhammad.