Tahniah Syed Saddiq tetapi jangan dengar sebelah pihak sahaja

PERSATUAN Kriket Malaysia (MCA) cukup bernasib baik. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mengumumkan Kinrara Oval diberi kelulusan khas untuk terus digunakan walaupun tempoh pajakan padang kriket itu tamat 31 Disember 2018.

Pajakan selama 15 tahun sejak 2003 diberi kepada MCA oleh Island & Peninsular Berhad bagi membolehkan pertubuhan itu mewujudkan sebuah padang kriket tetapi itu hanya sementara sahaja. Ketika itu padang bertaraf antarabangsa hanyalah Bayuemas Oval di Klang; dibina oleh Golden Hope Plantations Berhad kepada Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

Kriket Melayu merupakan sebuah pertubuhan yang membangunkan pemain dari pembangunan bawah 12 tahun, projek peringkat menengah, pusat prestasi tinggi di tiga pusat pengajian tinggi dan seterusya pendedahan dan penempatan antarabangsa.

Semua pemain hasil pembangunan Kriket Melayu disalurkan kepada MCA untuk mewakili negara baik di peringkat usia, belia dan skuad nasional. Kriket Melayu juga menyediakan jurulatih pembangunan (dari Sri Lanka, Bangladesh) serta tenaga tambahan untuk melatih pemain dalam program pusat prestasi tinggi.

MCA amatlah beruntung dan bekerjasama dengan Kriket Melayu seawal tahun 2000 bagi mendapatkan pemain bertaraf tinggi menerusi program tersusun. Tetapi dengan pelbagai tekanan yang tidak dijangka telah memaksa Kriket Melayu menghentikan pembangunannya di seluruh negara pada 16 Ogos 2017.

Sewaktu Bayuemas Oval hampir siap pada 2003, Presiden MCA ketika itu, Tunku Imran Tuanku Ja’afar meminta pertimbangan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid untuk mendapatkan hartanah di Kinrara milik Island & Peninsular untuk dijadikan sebuah padang kriket. PNB memiliki firma Island & Peninsular.

MCA diberi pajakan selama 15 tahun dengan pelbagai perjanjian dimeterai termasuk mesti membayar taksiran tahunan dan bayaran lain. Kinrara Oval diwujudkan dengan ibu pejabat MCA berpindah ke ‘kompleks’ itu.

Bayuemas Oval merupakan gelanggang serba lengkap; miliki banyak kemudahan asas yang sesuai untuk menganjur pertandingan antarabangsa.  Ia dilengkapi penginapan di Akademi Kriket Melayu Tuanku Ja’afar khusus untuk latihan pusat pemain peringkat usia. Bayuemas Oval mendapat pengiktirafan sebagai gelanggang sehari antarabangsa atau ODI oleh Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) pada tahun 2004.

Malang sungguh, daripada kedudukan 23 dunia beberapa tahun lepas, ranking Malaysia peringkat antarabangsa jatuh lagi. Kriket Melayu enggan menumpukan pembangunan lagi dan terpulanglah kepada MCA untuk menyemarakkan kegiatannya. Kriket Melayu sudah berbelanja besar menyara pembangunan yang turut merangkumi pengajian, pendedahan & penempatan serta kesinambungan pencapaian pemain-pemain di bawah programnya.

Sukar sekali bagi MCA buat masa ini. Tersentak sekejap dengan masalah kehilangan Kinrara Oval kini berhadapan pelbagai tekanan dan paling besar ialah kewangan. Itulah sebabnya MCA terpaksa menganjur banyak pertandingan yang boleh menghasilkan perolehan dengan mengenakan fi pertandingan. Dalam saingan antarabangsa seperti pertandingan naungan Majlis Kriket Asia dan ICC, penganjuran di Malaysia selama ini telah menguntungkan MCA.

Maka sebab itulah kebelakangan ini, MCA dikhabarkan amat marah-marah jika ada kejohanan antarabangsa walaupun ‘kurang besar’ berlangsung di gelanggang lain selain Kinrara Oval. Gelanggang lain pun hebat dan sering mendapat pujian pegawai-pegawai ICC; mungkin sebab itu mereka tidak pilih Kinrara Oval. Janganlah kerana mereka tidak pilih Kinrara Oval, nak kenakan pelbagai peraturan pula kepada penganjur.

Rasa-rasa Syed Saddiq ini cuma berupaya dengar cerita sebelah pihak sahaja. Tanyalah Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Datuk Wira Mazlan Ahmad, Datuk Ramlan Aziz atau Datuk Zolkples Embong mengenai persatuan lain yang banyak berkorban membangunkan kriket. Juga boleh berbincang dengan Pengerusi Panel Penasihat Sukan.