Perhitungan Utara-Selatan dipulihkan

BAYUEMAS OVAL (Klang) - Saingan Utara menentang Selatan dipulihkan semula sejak terhenti penganjuran pada 2004. Pertandingan diperkenalkan pada tahun 1994 bagi perebutan Perisai Tuanku Ja'afar (Yang Dipertua Kriket Melayu waktu itu).

 

Pertarungan ini dihentikan berikutan kurang mendapat sambutan tetapi kini dipertandingkan semula atas nasihat majlis Persatuan Kriket Melayu Malaysia setelah merehatkan semua program pembangunan nasional pada 16 Ogos 2017.

 

Pemilihan peserta Utara-Selatan dibuat berpandukan kepada prestasi pemain dalam Kejohanan Kriket Melayu Antara Negeri (Perisai Raja-Raja). Apa pun sejak senarai pemain diumumkan, banyak kali penukaran atau penggantian dilakukan. 

 

Pertandingan pada 24 dan 25 November 2018 ini masih dirasakan bukan sahaja kurang menarik minat peserta tetapi pelbagai masalah mengenai cuti diharungi.

 

''Perlu difikirkan semula sama ada pertandingan seperti ini boleh dianjurkan lagi atau menukar sahaja formatnya,'' kata Setiausaha Agung Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah.

 

Semua pemain Angkatan Tentera tidak diluluskan cuti oleh bahagian sumber manusia Kementerian Pertahanan; mungkin tidak memahami tujuan penganjuran pertandingan ini atau difahamkan ramai pemain Tentera telah mengambil pelepasan terlalu lama.

 

Persatuan Kriket Melayu Malaysia difahamkan akan meneliti semula kegiatan penganjuran 2019 sama ada ia memberi manfaat kepada pemain atau direhatkan sahaja. 

 

Perhitungan pada 24 dan 25 November 2018 ini menyediakan format dua perlawanan 50 over dengan Dr. Zainal Fitri Zainal Abidin selaku pengurus Selatan dan Azmi Jaafar pengurus Utara.