Pelajar UKM berterima kasih kepada Kriket Melayu

ENAM pemain kriket di pusat prestasi tinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menamatkan pengajian masing-masing dan mengharungi graduasi 12 November 2018.

Mereka ialah Nazri A. Rahman, Fikri Makram Rosdi, Noor Afif Saufee, Fauzan Malik, Che Wan Razlan Zalati dan Fitri Sham.

Mereka adalah hasil Program Pembangunan Kriket Remaja (Bawah 12), Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah yang kemudian dihantar ke Pusat Prestasi Tinggi yang dikendalikan Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

Semua turut mengharungi program penempatan di luar negara termasuk bermain dalam liga di Sri Lanka, Australia dan Afrika Selatan menerusi sokongan Yayasan Sime Darby-Kriket Melayu.

Yang Dipertua Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengucapkan tahniah kepada keenam-enam pemain berkenaan dan berharap mereka akan membantu dalam membangunkan kriket di negara ini.   

 

Nazril, Fikri Makram dan Che Wan Razlan hadir untuk bertemu Setiausaha Agung Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah di ibu pejabat Kriket Melayu di Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 9 November 2018 untuk bertanya khabar dan berterima kasih di atas segala bantuan persatuan itu dari pendidikan rendah sehinggalah mereka menamatkan pengajian di universiti.