Machang akan pastikan Bayuemas tersungkur

JUARA tahun lepas, Machang dari Kelantan akan memastikan pencabarnya dari Selangor, Bayuemas akan tersungkur dalam babak akhir Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan di Bayuemas Oval 21 Oktober 2018.


Dengan tiga perempat pemain yang membarisi skuad tahun lepas, Machang yang dipimpin oleh jurulatih bengis, Zainuddin Harun merancang untuk meratah lawan dengan mudah; sekali gus memenangi kejuaraan bagi tahun ketiga berturut-turut.


''Kami memiliki empat pemukul yang mampu melonjakkan larian untuk menjinakkan lawan,'' kata Zainuddin yang pernah bertindak sebagai jurulatih barisan bawah 19 Melayu Malaysia ke Australia.


Pengarah kejohanan merebut Perisai Tun Ahmad Sarji itu, Magathewar Murugesu berkata, format pertandingan tahun ini berubah apabila penganjur, Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah menghentikan semua program pembangunannya sejak Ogos tahun lepas.


''Hanya enam pasukan sahaja bersaing dalam pusingan awal dengan peruntukan 15 over. Babak akhir berjumlah 25 over seperti terdahulu,'' kata Magathewar, pengadil bertauliah lulusan Persatuan Pengadil Kriket Profesional Sri Lanka.


Bayuemas dikendalikan oleh penyelaras berwibawa, Redzuan Shahadan dan berharap pasukannya mampu menenggelamkan impian Machang yang terlalu yakin dengan prestasi semasa skuad itu.


''Kami sudah merancang gerakan dalam perlawanan akhir ini dan jurulatih dari Sri Lanka, Chamath Perera memiliki jawapannya,'' kata Redzuan.