Kriket Elit Bawah 12 masih diteruskan

KEJOHANAN Kirket Elit Bawah 12 Kebangsaan tahun 2018 akan berlangsung dalam dua sesi kelayakan. 

Saingan kelayakan pertama pada 18 Ogos membabitkan Machang (Kelantan) selaku juara bertahan di samping Kuala Langat dari Selangor dan Kampung Gelam (Melaka).Kelayakan kedua pula berlangsung pada 25 Ogos juga di Bayuemas Oval dengan tiga lagi pasukan yang bakal berentap; Bayuemas dari Elangor, Parit Jawa (Johor) dan Ipoh.

Pegawai Urus Setia pertandingan tahun ini, Magathewar Murugesu berkata, pasukan teratas dalam setiap kelayakan akan mara ke perlawanan akhir pada 21 Oktober di Bayuemas Oval.

Cukup menarik dalam sesi kelayakan hanya 15 over diperuntukkan. Manakala dalam babak akhir kekal 25 over.

Kejohanan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia untuk merebut Perisai Tun Ahmad Sarji itu dimulakan sejak tahun 1999 dan hampir 90 peratus pemain yang membarisi skuad kebangsaan sekarang pernah beraksi dalam pertandingan ini. 

Timbalan Setiausaha Kewangan Kriket Melayu, Dr. Zainal Fitri Zainal Abidin berpendapat kejohanan seperti ini tidak boleh dihentikan walaupun persatuan itu sudah menghentikan semua program pembangunan sejak 16 Ogos 2017.

''Kerana tidak lagi terbabit dengan pembangunan, kami masih menganjurkan kejohanan seperti ini  tetapi terhad kepada enam pasukan sahaja,'' katanya.