MCA tiada pilihan lagi

SELEPAS Persatuan Kriket Melayu Malaysia menghentikan semua program pembangunannya pada 16 Ogos 2017, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) amatlah gembira kerana apa yang dirancang menepati matlamat mereka.

MCA telah beberapa kali melakukan aduan kepada kerajaan atau agensinya bahawa merekalah badan pengawal kriket di Malaysia dan Kriket Melayu perlu menghentikan semua program pembangunan kriket di negara ini. 

Bagi MCA, merekalah perlu diberi hak melakukan pembangunan dan macam-macam lagi. Kriket Melayu membantu dalam membangunkan pemain ke tahap tinggi untuk mewakili negara tanpa meminta wang daripada MCA.

Sehinggalah hari ini apalah sangat yang dibuat MCA. Mana program pembangunan bawah 12 yang benar-benar tersusun? Atau program peringkat menengah yang mantap dengan tenaga kejurulatihan hebat. Mana pusat prestasi tinggi?

Yang kita tahu sekarang prestasi kriket di negara sudah menurun. 

Beberapa minggu dulu difahamkan MCA mengeluarkan surat kepada bekas pusat pembangunan peringkat menengah Kriket Melayu di Victoria Institution, Penang Free School, Kajang High School, Clifford (Lipis), SMK Titiwangsa dan SMK TIP di Gua Musang untuk memulakan semula pembangunan yang dihentikan oleh Kriket Melayu.

Kriket Melayu memulakan program pembangunan sejak tahun 1998 terbahagi kepada tiga; bawah 12, peringkat menengah dan pusat prestasi tinggi dengan menelan belanja hampir RM12 juta. Paling utama ialah melakukan penempatan pemain berwibawa dalam liga-liga di England, Afrika Selatan, Australia dan Sri Lanka. Semua dilakukan untuk melayakkan hanya pemain hebat ditempatkan dalam barisan skuad kebangsaan; sama ada pasukan utama atau peringkat usia.

Memandangkan prestasi semua peringkat dalam barisan kebangsaan terumbang ambing buat masa sekarang, MCA benar-benar mengharapkan agar enam bekas pusat Projek Kriket Nasional-Menengah kendalian Kriket Melayu itu bersetuju untuk disambung tanggungjawab bersama MCA pula.

Tetapi pentadbir sekolah berkenaan mahukan sama penumpuan seperti Kriket Melayu dahulu. Jurulatih luar negara (kontrak) sepenuh masa, semua belanja pemain projek dibiayai penginapan dan pembalajaran; menyediakan kemudahan asas kriket di sekolah masing-masing.

Mereka juga mahu MCA mewujudkan program bawah 12 di seluruh negara dan dari situlah pemain akan disalurkan ke sekolah projek peringkat menengah. (Kriket Melayu memiliki hampir 20 pusat program bawah 12 dahulu).

Sehingga hari ini, MCA difahamkan tidak berkemampuan terutama sekali tidak cukup duit dalam mengurunkan pelbagai perkara.

Apakah pihak kementerian, agensi kerajaan seperti Majlis Sukan Negara boleh membantu? Dari sudut tajaan syarikat pula, MCA pasti menghadapi kesukaran.