Bilal Asad bertemu Rosmanizam

KETUA jurulatih pasukan kriket kebangsaan dari Pakistan, Bilal Asad yang ditamatkan kontrak oleh Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Kriket Melayu pada 1 Februari 2018.

Menurut Eksekutif Kanan Kriket Melayu, Azahari Fuad, pertemuan rahsia berlangsung lewat tengah hari dan sesi berkenaan tidak diberitahu kepada anggota majlis lain.

Bilal memulakan khidmat sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan pada 2011 yang kemudian dinaikkan ke tahap ketua jurulatih sehingga khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Difahamkan, MCA tertekan kerana prestasi kriket di negara ini semakin kecundang terutama sekali pasukan utama kebangsaan tersungkur dari divisyen tiga ke bahagian empat Liga Kriket Dunia tahun 2017. 

''Tidak dinafikan prestasi dalam Sukan SEA tahun lalu juga tidak menggembirakan kerana daripada tiga emas disediakan, hanya satu sahaja dimenangi Malaysia,'' kata Azahari.

Pembantu Khas kepada Setiausaha Agung Kriket Melayu, Syukran Fadzli Mazlan membayangkan pertemuan berkenaan adalah sesi melepas geram Bilal di samping banyak cerita dalaman yang dibangkitkan.

Presiden MCA, Mahinda Vallipuram juga difahamkan terlalu aib berikutan prestasi semasa Malaysia dan kesempitan kewangan pertubuhan itu.

''Sebagai Pengarah Ahli Gabungan Bersekutu Majlis Kriket Antarabangsa, dia pasti malu jika membawa Malaysia terus gagal di pentas antarabangsa,'' katanya.

Buat masa ini tiada jurulatih sepenuh masa di MCA untuk persediaan Malaysia menghadapi Liga Kriket Dunia (bahagian empat) di Kuala Lumpur April ini.



BILAL ASAD



MAHINDA