SMK Tengku Indra Petra jumpa Clifford dalam babak akhir
Saturday, 05 August 2017 20:00
KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra ke perlawanan akhir Cabaran Kriket Perempuan merebut Perisai Tuanku Najihah apabila menang besar 118 larian ke atas Pattani dari Thailand dalam pusingan awal di Bayuemas Oval, Klang pada 5 Ogos 2017.
Pemain serba boleh, Rabiatuadawiah Mat Rahim cemerlang membantu pasukan dari Gua Musang, Kelantan itu dengan sumbangan 27 larian di samping mencapai hatrik dalam balingan menerusi tiga wiket berturut-turut.
Walaupun beraksi dalam tekanan waktu pagi, skuad Gua Musang itu mampu mengumpulkan 142 larian untuk lima wiket dalam perhitungan over maksimum.
Pattani mengejar dalam sesi kedua tetapi tidak bertahan lama dengan hanya melakukan 24 larian dalam 14 over.
''Kami tidak dapat beraksi dengan baik sepanjang kejohanan. Tahun 2018 kami akan lebih bersedia untuk bersaing sebagai pasukan hebat,'' kata pengurus Pattani, Asami Borsu.
SMK Tengku Indra Petra yang buat kali pertama layak ke perlawanan akhir bakal menghadapi tugas berat menentang SMK Clifford yang merupakan juara bertahan.
Dalam pusingan awal, Clifford memenangi kedua-dua pertemuan dengan wakil Gua Musang itu tetapi bagi pengurus skuad Hulu Kelantan itu, Arif Mat Nawi, apa-apa keputusan boleh terjadi dalam pertemuan akhir.
KEPUTUSAN:
SMK Tengku Indra Petra kalahkan Pattani dengan 118 larian.
SMK Tengku Indra Petra 142-5 (25 over) Rabiatuladawiah Mat Rahim 27, Mazni Ismail kekal 16, Siti Nor Morni Paharudin 16, Nur Aliah Asyqin Jamaludin 14, Nor Sahirah Razali kekal 13. Aneela Ar-keh 2-18.
Pattani 24 (14 over) Rabiatuladawiah Mat Rahim 3-0 (hatrik), Nor Sahirah Razali 2-3, Wan Nor Zulaika Sofea Zulkifli 2-7.
Pemain terbaik: Rabiatuladawiah Mat Rahim (SMK Tengku Indra Petra).
Pengadil: Fadzrin Kate-Lee (KL) & Bertle Alex James (NS).
JADUAL 6 OGOS 2017:
(Babak akhir)
SMK CLIFFORD lwn SMK TENGKU INDRA PETRA
(Bayuemas Oval, 10 pagi)