SMK Penang Free cemerlang dalam kriket

GERAN UNTUK MEREKA... (dari kiri), Syahadat Ramli, Fadzrin Kate-Lee, Kavintheran Kumar, Fetri Sham dan Tarma Raj Chandra Mohan.KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free meneruskan tradisi melahirkan pemain-pemain kriket bertaraf tinggi apabila tiga daripada pelajarnya menerima geran Yayasan Kecemerlangan Sukan (SportExcel) musim 2009 di Kuala Lumpur , 3 November lalu.

Tiga pelajar Projek Kriket Nasional daripada SMK Penang Free itu ialah kapten skuad bawah 15 Malaysia , Fadzrin Kate-Lee dan dua pemain serba boleh, Tarma Raj Chandra Mohan dan Kavintheran Kumar.

Tahun lalu, juga tiga pelajar sekolah berkenaan menerima anugerah sama. Mereka ialah pembaling separuh pantas skuad bawah 17 Malaysia, Nazril A. Rahman; pemutar kiri, Ahmad Zahid Adnan dan Keithan Goonasagaran.

Tahun ini, tiga pelajar berkenaan adalah antara lima pemain kriket yang dipilih menerima anugerah ternama setiap tahun itu. Dua lagi ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd. Yunus Sulaiman, Pekan Nenas, Johor, Syahadat Ramli dan Fetri Sham dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Pengetua Penang Free, Ramli Din berkata, Projek Kriket Nasional yang dikendalikan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia di sekolah itu sejak tahun 2002 telah melahirkan ramai pemain untuk membarisi pasukan peringkat usia nasional.

‘’Hampir semua pemain projek di sekolah kami adalah produk nasional hasil program bawah 12 Kriket Melayu di seluruh negara,’’ katanya.

Sementara itu, SMK Penang Free akan mengemukakan pasukan kuat bertanding dalam pertandingan bawah 15 KAF III di Kuala Lumpur bermula 13 hingga 15 November ini.

Dua puluh pasukan dalam dan luar negara bertanding dalam pertandingan versi pendek itu. Dua lagi pusat program pembangunan Kriket Melayu akan menyertai iaitu SMK Tinggi Kajang, Selangor dan SMK Victoria, Kuala Lumpur .

Melayu Malaysia merupakan juara dua tahun berturut-turut tetapi bagi saingan tahun ini, Kriket Melayu mengemukakan tiga pusat cemerlang peringkat menengahnya.
 
GERAN UNTUK MEREKA... (dari kiri), Syahadat Ramli, Fadzrin Kate-Lee, Kavintheran Kumar, Fetri Sham dan Tarma Raj Chandra Mohan.
GERAN UNTUK MEREKA... (dari kiri), Syahadat Ramli, Fadzrin Kate-Lee, Kavintheran Kumar, Fetri Sham dan Tarma Raj Chandra Mohan.