Sri Lanka belasah Afrika Selatan dengan 131 larian

KUALA LUMPUR  - Sri Lanka mempertahankan kejuaraan Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa apabila mudah menumbangkan Afrika Selatan dengan 131 larian dalam babak akhir di Bayuemas Oval pada 9 April 2017.

Sri Lanka yang dipaksa memukul pada sesi pagi mencapai 166-6 dengan ketua pasukan, Pavan Rathnayake melakukan 50 larian.

Turut sama melonjakkan larian pasukan juara itu ialah Amitha Dabare (37 larian), Yesith Randunu Rupasinghe (35) dan Abishek Anandakumara dengan 22.

Afrika Selatan yang diramal dapat memberikan tentangan hebat cuma bertahan setakat 18.1 over dengan mengumpulkan 35 larian.

''Kami tidak menjangka dapat memenangi pertemuan akhir dengan mudah. Tahniah kepada pemain yang mengorak kebijaksanaan untuk merangkul Trofi Tuanku Ja'afar bagi kali kesebelas,'' kata jurulatih Sri Lanka Dilshan de Silva.

Kejohanan tahunan yang dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia dimulakan sejak tahun 2004.

KEPUTUSAN:

Sri Lanka kalahkan Afrika Selatan dengan 131 larian.
Sri Lanka 166-6 (40 over) Pavan Rathnayake 50, Amitha Dabare 37, Yesith Randunu Rupasinghe 35, Abishek Anandakumara 22.
Afrika Selatan 35 (18.1 over) Kai Slade Curran 14.  Abishek Anandakumara 4-5, Pasindu Thennakoon 3-5, Kanishka Hasitha Gamage 2-10.  
Pemain terbaik babak akhir: Pavan Rathnayake (Sri Lanka).
Pengadil: Shafizan Shahriman (NS) & Faizshal Niaz-Lyn (KL).
Referi perlawanan: Salim Hussin (JOH).