Sri Lanka, Afrika Selatan mara ke perlawanan akhir

KUALA LUMPUR 8 April - Sri Lanka mara ke babak akhir Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa apabila mengatasi Melayu Malaysia dengan 82 larian dalam pertemuan di Bayuemas Oval dekat sini pada 8 April 2017.

Sri Lanka dalam misi memenangi Trofi Tuanku Ja'afar untuk kali kesebelas sejak pertandingan bermula pada tahun 2004, akan bertemu Afrika Selatan esok (9 April 2017) yang menumbangkan Bangladesh dengan tujuh wiket di Kelab Aman.

Sri Lanka yang memukul terdahulu melakukan 150 larian dalam peruntukan 40 over. Sebaik selesai sajian tengah hari, Melayu Malaysia bermula baik tetapi jatuhan wiket selepas 20 over menyaksikan angka tuan rumah terhenti pada 68 larian dalam 28.3 over.

''Kami mahukan gelaran juara lagi. Sri Lanka berlatih dengan gigih sejak menggerakkan latihan pusat November tahun lepas,'' kata jurulatihnya, Dilshan de Silva.

Di Kelab Aman, Bangladesh yang hanya mengumpulkan 74 larian memberikan kemenangan mudah kepada Afrika Selatan yang memintas pada angka 79-3 dalam 13.5 over.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia sebagai pendahulu program pembangunan di negara ini menganjurkan pertandingan itu sejak Bayuemas Oval dirasmikan pada 2004.

KEPUTUSAN:
Sri Lanka kalahkan Melayu Malaysia dengan 82 larian.
Sri Lanka 150 (40 over) Sheran Fonseka 49, Yesith Randunu Rupasinghe 34, Pavan Rathnayake 29, Raveen De Silva 10.  Irfaq Yusoff 3-9. Hazriq Azmir 2-21.
Melayu Malaysia 68 (28.3 over) Aqil Akmal Zol 17, Hakim Harisan 13.  Amitha Dabare 3-14, Kanishka Hasitha Gamage 2-13, Raveen De Silva 2-14.    
Pemain terbaik: Sheran Fonseka (Sri Lanka).
Pengadil: Faizshal Niaz-Lyn (KL) & Zaidan Taha Hasim (KEL).
Referi perlawanan: Salim Hussin (JOH).
 
Afrika Selatan kalahkan Bangladesh dengan 7 wiket.
Bangladesh 74 (36.2 over) Mehrab Hossain Prodhan Raghib 20, Md. Foysal Rahman 13.  Kai Slade Curran 2-1, Simon Schultz 2-5, Matthew Klusener 2-17, Aidan Plaatjies 2-19.  
Afrika Selatan 79-3 (13.5 over) Tristan Perez 32, Kai Slade Curran kekal 19, Jason Clothier 16.  Md. Jahidul Hasan 2-21.        
Pemain terbaik: Tristan Perez (Afrika Selatan).
Pengadil: Shafizan Shahriman (NS) & Bertle Alex James (NS).
Referi perlawanan: Norhizan Zainol (JOH).
 
JADUAL 9 APRIL 2017
(BABAK AKHIR)
 
SRI LANKA lwn AFRIKA SELATAN
(Bayuemas Oval, 9 pagi)