Hanya 14 pusat kriket bawah 12 dikekalkan

KUALA LUMPUR  - Program Pembangunan Kriket Remaja yang diilham dan dijadikan kenyataan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 1999 kini dikurangkan kepada 14 pusat sahaja berbanding 20, tahun lepas.

Program pembangunan khusus bagi pemain sasar bawah 12 tahun itu terpaksa merehatkan enam pusat berikutan kurang aktif.

'Pemantauan secara serius tahun lepas memaksa Kriket Melayu sebagai peneraju program pembangunan kriket di Malaysia itu merehatkan, Kelab PJ (Selangor), Batang Padang (Perak), Bangsar, Sentul (Kuala Lumpur), Kerambit (Pahang) danTranquerah (Melaka).  

''Apapun 14 pusat yang aktif akan terus diberi bantuan peralatan, kejurulatihan dan sebahagiannya terus mengekalkan kemudahan asas yang telah dibina,'' kata Yang Dipertua Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Katanya, semua pusat yang dikekalkan memiliki penyelaras yang bertanggungjawab tinggi dalam membangunkan pemain sekali gus membekalkan sebahagian besar peserta kepada Projek Kriket Nasional bagi pembangunan menengah.

Empat belas pusat yang terus diberi keutamaan ialah Ipoh (Perak), Kuala Langat, Bayuemas (Selangor), Bukit Petaling (Kuala Lumpur), Gadong, Gemencheh (Negeri Sembilan), Parit Jawa (Johor), Lipis, Pekan (Pahang), Gua Musang, Kota Bharu, Machang (Kelantan), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Awal tahun ini, seramai 21 pemain (16 lelaki dan lima perempuan) menyertai pembangunan menengah di pusat Projek Kriket Nasional kendalian Kriket Melayu di Victoria Institution (Kuala Lumpur), Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang (Selangor), SMK Clifford, Lipis (Pahang) dan SMK Tengku Indra Petra, Gua Musang (Kelantan). Penang Free School dan SMK Seri Titiwangsa (Kuala Lumpur) tiada kemasukan.

''Kami turut mengurangkan pengambilan dalam Projek Kriket Nasional kerana banyak faktor; antaranya hanya mahu mendapatkan pemain yang benar-benar berkualiti,'' katanya.

Kriket Melayu juga dilaporkan meminta baki pemain yang tidak dapat menyertai sekolah projek menengahnya tahun ini agar menghubungi Persatuan Kriket Malaysia bagi dibantu memasuki program pertubuhan itu.