Kejuaraan senior kepada Melayu Afrika Selatan

KUALA LUMPUR  - Melayu Afrika Selatan menamatkan saingan kriket Trofi Melayu Antarabangsa XI dengan memenangi acara senior apabila menumpaskan Melayu Malaysia dengan lima wiket dalam babak akhir di Bayuemas Oval dekat sini pada 26 Disember 2016.

Setelah hujan mengganggu pukulan Melayu Malaysia pada sesi pagi sekali gus mengurangkan peruntukan permainan setakat 28 over, tuan rumah berjaya mengumpulkan 152-8; angka yang dianggap meyakinkan.


''Apa pun sejurus Afrika Selatan memukul menerusi gandingan wiket kelima antara Muzammil Sheik (58 larian) dengan Tohir Abrahams (kekal 52), kenyataan untuk menjuarai saingan menghampiri kenyataan kepada pelawat.

''Melayu Malaysia menghadapi tekanan dengan pukulan enam dan empat silih berganti di lapangan tengah,'' kata pengurus pasukan tuan rumah, Azmi A. Majid.

Afrika Selatan menamatkan misi mempertahankan kejuaraan itu dalam 25.4 over.

Pasukan bawah 15 Melayu Malaysia mengatasi Afrika Selatan untuk menguasai kategori berkenaan pada 25 Disember.

KEPUTUSAN:
Melayu Afrika Selatan kalahkan Melayu Malaysia dengan 5 wiket.  Perlawanan dikurangkan kepada 28 over kerana hujan.
Melayu Malaysia 152-8 (28 over) Suharril Fetri Shuib kekal 57, Che Wan Razlan Zalati 21.  Riyaad Abrahams 2-12, Nkululeko Molale Serame 2-25, Isgak Martin 2-35.      
Melayu Afrika Selatan 153-5 (25.4 over) Muzammil Sheik 58, Tohir Abrahams kekal 52, Isgak Martin 19.  Shahrulnizam Yusof 2-22, Rashid Ahad 2-37.
Pemain terbaik: Muzammil Sheik (Afrika Selatan).
Pengadil: Ariffin Ramly (MAS) & Shafizan Shahriman (MAS).