Chilaw Marians juara bagi tahun kelima

KUALA LUMPUR  - Chilaw Marians mengekalkan kejuaraan bagi tahun kelima berturut-turut apabila menang mudah ke atas Kalabagan dari Bangladesh dengan 236 larian dalam perlawanan akhir Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa di Bayuemas, Klang, 25 September 2016.

Tidak dapat dinafikan ketiadaan empat pemain antarabangsa dan kelas pertama Bangladesh merupakan antara penyumbang di atas kekalahan teruk pasukan itu.


Shykat Ali, Mehrab Hossain, Rony Talukdar dan Salman Hossain Emon telah diarah pulang secara mengejut oleh Lembaga Kriket Bangladesh pada 24 September 2016 berikutan persediaan antarabangsa menentang Afghanistan dan
England.

Chilaw Marians dari Sri Lanka memulakan dengan garang dan memastikan angka tinggi, 346-8 dalam peruntukan penuh 50 over. Bangladesh tertekan awal dengan kedudukan 3-3 dan hanya berkeupayaan mengumpulkan 110 larian dalam 31.3 over.

''Keupayaan kami terganggu teruk apabila kehilangan empat pemain utama dalam babak akhir ini. Kami tidak terdaya menghadapi gangguan sebegini,'' kata Pengarah Kalabagan, Zakir Ahmed.

''Seperti dijangka, kami merangkul Piala Tun Ahmad Sarji bagi tahun kelima berturut-turut dan yakin untuk menguasai pertandingan ini lagi tahun hadapan,'' kata pemilik Chilaw Marians, Godfrey Dabrera.


KEPUTUSAN BABAK AKHIR:

Chilaw Marians kalahkan Kalabagan dengan 236 larian.
Chilaw Marians 346-8
(50 over) Rukshan Fernando 84, Shehan Jayasuriya 58, Saliya Saman 58, Thikshila de Silva 47, Ashen Silva 37, Malinda Pushpakumara 16. Mohammad Anamul Haque 2-46, AZM Arman Abdullah 2-56.
Kalabagan 110 (31.3 over) Mohammad Anamul Haque 37, Md. Asif Hasan Mitul 18, Md. Abed Zaman 16, Md. Ashik ul Alam Naem 13, Md. Marzan Bhuiyan 10.  Malinda Pushpakumara 4-45, Saliya Saman 2-13.
Pemain terbaik: Rukshan Fernando (Chilaw Marians).
Pengadil: Ranmore Martinesz (LKA) & Zaidan Taha Hasim (MAS).
Referi: A. Salim Hussin (MAS).