Clifford menang besar; rangkul Perisai Tuanku Najihah

KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis mengulangi kecemerlangan tahun 2014 apabila memenangi kejuaraan Cabaran Kriket Perempuan Perisai Tuanku Najihah dengan membenam SMK Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan 88 larian di Bayuemas Oval, Klang, 23 Julai 2016.

Setelah dipelawa untuk memukul berikutan kekalahan undian, Clifford mengumpulkan 108-9 dalam peruntukan maksimum 25 over. Mas Elysa Yasmin Zulkifli dan Sasha Azmi masing-masing melakukan 24 dan 23 larian sebagai penyumbang utama.


Apa pun SMK Seri Titiwangsa ternyata tidak bertahan lama dalam sesi memukul apabila hanya mengumpulkan 20 larian dalam 14.3 over. Pembaling pembukaan Clifford Ainna Hamizah Hashim (3-4) dan Noor Hayati Zakaria (3-9) terlalu menggerunkan dalam sesi serbuan awal.

''Kami digegar awal apabila kehilangan dua wiket tanpa keputusan di papan catatan. Jatuhan wiket tidak dapat dikawal lagi dan kami terus bermasalah,'' kata pengetua SMK Seri Titiwangsa, Nik Anuay Abdullah.

Lima pasukan daripada program pembangunan Persatuan Kriket Melayu Malaysia menyertai pertandingan yang dimulakan sejak tahun 2014.

Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin turut berangkat pada babak akhir.

KEPUTUSAN
(Babak akhir)

SMK Clifford kalahkan SMK Seri Titiwangsa dengan 88 larian.
SMK Clifford 108-9 (25 over) Mas Elysa Yasmin Zulkifli 24, Sasha Azmi 23.  Wan Nor Zulaika Sofea Zulkifli 2-16.  
SMK Seri Titiwangsa 20 (14.3 over) Ainna Hamizah Hashim 3-4, Noor Hayati Zakaria 3-9, Sasha Azmi 2-3.
Pemain terbaik babak akhir: Sasha Azmi (SMK Clifford).
Pemain terbaik kejohanan: Rosenanee Kanoh (Pattani).
Pengadil: Zaidan Taha Hasim (KEL) & Bertle Alex James (NS).