Tiga pasukan layak ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR - Tiga pasukan termasuk juara bertahan, Pattani dari Thailand layak ke pusingan kedua Cabaran Kriket Perempuan Perisai Tuanku Najihah yang sedang berlangsung di Bayuemas Oval, Klang.

Dua lagi pasukan yang melepasi halangan awal ialah SMK Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur dan finalis 2015, SMK Clifford dari Kuala Lipis, Pahang.

 


Apapun dalam pertemuan 20 Julai 2016, Pattani kalah kepada Clifford, Kuala Lipis dengan empat wiket dalam aksi yang gagal menghimpun angka tinggi.

Sebaik selesai ketukan Pattani setakat 54 larian, Clifford turut gagal meneruskan rentak cemerlang dalam sesi pukulan dengan enam anggotanya dipaksa pulang ke astaka terlalu awal.

''Berikutan angka rendah dihimpun lawan, pemukul menanam semangat amat yakin dan tidak berhati-hati. Ini menyebabkan pemukul utama melakukan kesilapan,'' kata jurulatih Clifford dari Sri Lanka, Pramuka Liyanage.

Lain pula dengan barisan SMK Seri Titiwangsa Kuala Lumpur apabila menang bergaya sepuluh wiket ke atas SMK Tengku Indra Petra, Gua Musang, Kelantan.

Dengan sasaran 77 untuk mencapai kemenangan, Seri Titiwangsa mengatasi lawan dengan kedua-dua pemukul pembukaan, Nurul Syahira Hassan Ali kekal 24 dan Nur Aliah Asyqin Jamaludin 14 larian tanpa tewas.  

Satu lagi pasukan yang bakal beraksi dalam pusingan kedua ditentukan dalam pertemuan antara Gua Musang dengan SMK (P) Pudu esok.

KEPUTUSAN:

SMK Clifford kalahkan Pattani dengan 4 wiket.
Pattani 54 (19.5 over) Rosenanee Kanoh 23, Shagufta Arwae 19.  Sasha Azmi 4-8, Mahirah Izzati Ismail 2-1.
SMK Clifford 55-6 (10.4 over) Rohaya Jani kekal 10, Sasha Azmi 10.  Shagufta Arwae 3-24, Soraya Lateh 2-17.
Pemain terbaik: Sasha Azmi (SMK Clifford).
Pengadil: Zaidan Taha Hasim (KEL) & Bertle Alex James (NS).
 

SMK Seri Titiwangsa kalahkan SMK Tengku Indra Petra dengan 10 wiket.
SMK Tengku Indra Petra 76-8 (25 over) Mazni Ismail 12.  Syatirah Najwa Rizaudin 3-7, Azmaniza Hariman 2-10, Nurul Huda Zulkarnaen 2-22.
SMK Seri Titiwangsa 77-0 (16.5 over) Nurul Syahira Hassan Ali kekal 24, Nur Aliah Asyqin Jamaludin kekal 14.  
Pemain terbaik: Nurul Syahirah Hassan Ali (SMK Seri Titiwangsa).
Pengadil: Zaidan Taha Hasim (KEL) & Fadzrin Kate-Lee (KL).
 
JADUAL 21 JULAI 2016:
 
PATTANI lwn SMK SERI TITIWANGSA
(Bayuemas Oval, 8.30 pagi)
 
SMK TENGKU INDRA PETRA lwn SMK (P) PUDU
(Bayuemas Oval, 1 petang)