Juara bertahan menang tipis, Pudu kalah teruk

KUALA LUMPUR - Pendatang baharu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra, Gua Musang melaungkan kegarangan awal apabila kalah tipis sepuluh larian kepada juara bertahan, Pattani dari Thailand dalam pembukaan Cabaran Kriket Perempuan Perisai Tuanku Najihah di Bayuemas Oval dekat sini   pada 17 Julai 2016.

Dengan meranapkan beberapa wiket penting Pattani pada awal permainan, wakil Kelantan itu mengehadkan lawan setakat 117 larian dalam 18.3 over dan hampir memerangkap 'pasukan juara' itu untuk mencapai keputusan di luar dugaan.

''Kami menghampiri peluang untuk menang tetapi kesudahannya tumpas dengan tipis Saya yakin Gua Musang akan mencapai keputusan yang lebih baik dalam perlawanan akan datang,'' kata pengurusnya, Nor Azmah Azib.

Cuma kapten Pattani, Rosenanee Kanoh bertahan pada angka 47 tanpa tewas manakala pemain matang lain, Shagufta Arwae (5 larian)  dan Soraya Lateh (3) tumbang mudah.

Dalam satu lagi pertemuan di gelanggang sama, SMK (P) Pudu, Kuala Lumpur tertiarap dengan sepuluh wiket kepada finalis tahun lalu, SMK Clifford, Kuala Lipis, Pahang.

Pudu hanya melakukan 11 larian dalam 13 over dan merupakan aksi terburuk dalam sejarah pertandingan. Clifford membalas hanya dalam 1.3 over untuk menang mudah. Pembaling skuad kebangsaan dari Clifford, Ainna Hamizah Hashim cemerlang dengan enam wiket untuk hanya dua larian.

''Saya tidak dapat mengulas lanjut. Harapan saya agar pemain berhati-hati dalam pertemuan seterusnya,'' kata pengurus Pudu, Wajdi Hassan.

Pertandingan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 2014 itu membabitkan semua pusat pembangunannya termasuk di Pattani, Thailand.

KEPUTUSAN:

Pattani kalahkan SMK Tengku Indra Petra dengan 10 larian.
Pattani 117 (18.3 over) Rosenanee Kanoh kekal 47.  Mazni Ismail 4-27, Rabiatuladawiyah Mat Rahim 2-1, Nik Nur Atiela Din 2-19, Safina Amira Anuar 2-36.
SMK Tengku Indra Petra 107-6 (25 over) Nur Nabila Nazeli 24, Nik Nur Atiela Din 16.  Rosenanee Kanoh 3-22.
Pemain terbaik: Rosenanee Kanoh (Pattani)
Pengadil: Bertle Alex James (NS) & Zaidan Taha Hasim (KEL).


SMK Clifford kalahkan SMK (P) Pudu dengan 10 wiket.
SMK (P) Pudu 11 (13 over) Ainna Hamizah Hashim 6-2, Mahirah Izzati Ismail 3-1.
SMK Clifford 12-0 (1.3 over) Mas Elysa Yasmin Zulkifli kekal 8, Zumika Azmi kekal 2.
Pemain terbaik: Ainna Hamizah Hashim (SMK Clifford).
Pengadil: Bertle Alex James (NS) & Fadzrin Kate-Lee (KL).
 
JADUAL 18 JULAI 2016:
 
SMK SERI TITIWANGSA lwn SMK CLIFFORD
(Bayuemas Oval, 8.30 pagi)
 
PATTANI lwn SMK (P) PUDU
(Bayuemas Oval, 1 petang)