Gelaran bawah 12 nasional milik Machang

KUALA LUMPUR  - Machang memastikan gelaran juara dalam Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan dengan kemenangan enam wiket ke atas juara bertahan, Parit Jawa dalam perlawanan akhir di Bayuemas Oval pada 29 Mei 2016.

Dengan meletakkan wakil Johor itu memukul pada sesi pagi, Machang mengehadkan pungutan larian lawan hanya setakat 107-4 yang seakan-akan memberi gambaran bahawa kejuaraan bakal berpindah milik.

Dalam 21.1 over, wakil Kelantan itu merangkul Perisai Tun Ahmad Sarji dengan dua pemukul, Wan Haikal Azemi (kekal 37) dan  Afifi Hakimi Ariffin (16 tanpa tewas) bertahan di lapangan tengah.

''Kami terlalu gembira dengan pencapaian ini. Di Machang dan serata Kelantan kriket semakin popular dengan mendapat sokongan ibu bapa,'' kata penyelarasnya, Zainuddin Harun.

Turut hadir menyaksikan babak akhir itu ialah Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Dr. Mehander Singh Nahar Singh.

KEPUTUSAN BABAK AKHIR

Machang kalahkan Parit Jawa dengan 6 wiket.
Parit Jawa 107-6 (25 over) Amer Aizad Norhisam 23, Zul Amry Mohdin 20.  Shukran Razali 2-11.
Machang 110-4 (21.1 over) Wan Haikal Azemi kekal 37, Amirul Asyraf Ayob 23, Afifi Hakimi Ariffin kekal 16.  Zahin Mahdhir 2-13.
Pemain terbaik babak akhir: Wan Haikal Azemi (Machang).
Pemain terbaik kejohanan: Amirul Asyraf Ayob (Machang).
Pengadil: Bertle Alex James (NS) & Zaidan Taha Hasim (NS).