Tiga pasukan bersaing dalam kelayakan Kriket Elit Bawah 12

 
KUALA LUMPUR - Tiga pasukan akan bersaing dalam pusingan kelayakan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan 13 Februari ini bagi menggenapkan sepuluh pasukan berentap dalam pusingan akhir mulai 23 hingga 29 Mei kelak.

Bukit Petaling dari Kuala Lumpur yang kembali aktif akan bertemu juara 2014, Kuala Lipis dan Pekan dari Pahang dalam pertemuan tiga penjuru di Bayuemas Oval yang menyediakan format 15 over.

''Dua pasukan teratas akan layak untuk bermain dengan lapan lagi pasukan yang sudah menunggu dalam pusingan akhir,'' kata Naib Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Mir Shahariman Shaharuddin.

Kejohanan bagi merebut Perisai Tun Ahmad Sarji yang dianjurkan sejak tahun 1999 itu akan  menampilkan juara bertahan, Parit Jawa dari Johor; naib juara Ipoh (Perak); Machang (Kelantan), Gemencheh (Negeri Sembilan); Kuala Langat, Bayuemas (Selangor); Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching dari Sarawak.

Sementara itu, mesyuarat penyelaras bawah 12 Kriket Melayu bagi Program Pembangunan Kriket Remaja telah berlangsung di Kuala Lumpur 16 Januari 2016 dengan kehadiran semua wakil 20 pusat dari seluruh negara.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Dr. Mehander Singh Nahar Singh dan Ketua Penolong Pengarahnya, Muraleedharan Vasudevan.