Pegawai kementerian, Kriket Melayu bermesyuarat di Kuala Lipis

KUALA LUMPUR - Pegawai kanan Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan dan beberapa anggota majlis Persatuan Kriket Melayu akan ke Kuala Lipis, Pahang bulan depan bagi membincang dan mendapat maklum balas mengenai  perkembangan terkini pembangunan kriket di daerah itu.

Dalam mesyuarat perancangan kriket 2016 yang dipengerusikan oleh Ketua Sektor Pendidikan Sukan kementerian itu, Dr. Zuber Hassan di Putrajaya minggu lepas, telah diumumkan bahawa suatu laporan terkini akan dibentangkan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Rosidah Kamaludin.

SMK Clifford merupakan sekolah di bawah program Projek Kriket Nasional kendalian  Kriket Melayu yang menempatkan pemain perempuan dan lelaki di samping program bawah 12 tahun.

Pada akhir tahun lepas, Dr. Zuber bergegas ke Kuala Lipis dan telah berbincang dengan barisan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah berkenaan cara paling sesuai untuk memperhebatkan pencapaian kriket di daerah itu.

Kuala Lipis memenangi Perisai Tun Ahmad Sarji bagi saingan Elit Bawah 12 Kebangsaan pada 2014 dan turut sama menjuarai Cabaran Kriket Perempuan Perisai Tuanku Najihah tahun itu.

Apapun kepemimpinan Kriket Melayu tertekan kerana daerah cemerlang dalam sukan itu telah menurun pretasi secara mendadak selang satu tahun.

''Bulan Februari ini, kami daripada Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan dan beberapa pegawai utama Kriket Melayu akan ke Kuala Lipis dan bakal meneliti laporan pemulihan prestasi di Kuala Lipis,'' kata Dr. Zuber.

Pasukan bawah 12 Kuala Lipis yang tumbang dalam pusingan awal saingan Kriket Elit tahun lalu akan bersaing dalam peringkat kelayakan 13 Februari ini di Bayuemas Oval bersama Pekan (Pahang) dan Bukit Petaling dari Kuala Lumpur.