Tujuh sekolah berentap dalam perebutan Piala Ketua Pengarah Pelajaran

PUTRAJAYA - Tujuh pasukan akan berentap dalam Cabaran Projek Kriket Nasional bagi merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran tahun ini dengan penampilan tiga pasukan baharu.

Tiga pasukan yang akan membuat penampilan pertama kali ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis, Pahang dan SMK Tengku Indra Petra, Gua Musang, Kelantan.


Empat pasukan yang sedang menunggu ialah juara bertahan, SMK Tinggi Kajang (Selangor), SMK Victoria, SMK Segambut Jaya (Kuala Lumpur) dan SMK Penang Free dari Pulau Pinang.

Ketujuh-tujuh pasukan terkandung dalam program Projek Kriket Nasional kendalian Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

''Cabaran bagi merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran bermula sejak tahun 2004 dan ia menjadi anjuran bersama Kriket Melayu dan Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan,'' kata Ketua Sektor Pendidikan Sukan  Kementerian Pendidikan, Dr. Zuber Hassan sewaktu mempengerusikan mesyuarat perancangan program kriket tahun 2016 di sini semalam.

Kejohanan format dua ining bermula 30 Januari ini. Ia berlangsung selama dua hari pada hujung minggu dan akan berakhir 4 September depan.

Sepanjang kejohanan berkenaan, SMK Victoria menjadi juara sebanyak tiga kali, SMK Penang Free lima kali dan SMK Tinggi Kajang empat kali.

Kriket Melayu telah membina kemudahan asas kriket di semua sekolah projeknya termasuk sebahagian daripada program pembangunan bawah 12 di seluruh negara. Terkini, padang sekolah di SMK Tengku Indra Petra dilengkapi lapangan tengah dan dua lorong gelanggang latihan rumput tiruan.

Turut sama disediakan ialah khidmat jurulatih kontrak luar negara. Buat masa ini tujuh jurulatih pembangunan dari Sri Lanka bertugas sepenuh masa di semua sekolah projeknya.

Sebuah lagi program kriket kendalian Kriket Melayu ialah SMK (Perempuan) Pudu, Kuala Lumpur yang merupakan sekolah projek bagi pemain perempuan sejak tahun 2010.

 

DR. ZUBER (kiri) serius mempengerusikan mesyuarat perancangan program kriket musim 2016 di Putrajaya semalam.