Gua Musang terima ramai pemain dalam program kriket

GUA MUSANG - Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra (TIP) di sini yang merupakan sebuah sekolah Projek Kriket Nasional melakukan pengambilan besar pemain ke program berkenaan bagi musim 2016.

Dalam sesi pendaftaran pelajar kriket yang memasuki tingkatan satu tahun ini, sekolah itu menerima lapan pemain daripada program bawah 12 Persatuan Kriket Melayu Malaysia dari pusat Machang, Kota Bharu (Kelantan), Kuala Langat dan Bayuemas dari Selangor.


''Kami juga menerima 18 pemain tingkatan satu dari  pusat Kriket Melayu di perkampungan Orang Asli di Kuala Betis,'' kata Pengetua TIP, Md. Rashid Mustafa.

TIP dipilih berada dalam program Projek Kriket Nasional kendalian Kriket Melayu sejak tahun lalu dengan memberi kelonggaran kepada sekolah itu untuk turut sama menerima pelajar kriket secara terbuka.

''Kami juga bertuah kerana Kriket Melayu telah membina kemudahan asas kriket hampir RM85,000 di padang sekolah untuk kegunaan dalam pelbagai pertandingan dan latihan,'' katanya.

Di samping itu, TIP juga memiliki dua pemain perempuan kebangsaan. Nik Nur Atiela Din dan Nur Nabila Nazeli.

Sekolah itu juga dibekalkan jurulatih sepenuh masa  dari Sri Lanka, Chamil Perera yang berkhidmat sejak tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman berkata, di samping menjadi pusat Projek Kriket Nasional, TIP juga akan mengembangkan pelan pembangunannya untuk membantu sebahagian besar sekolah rendah dalam permainan kriket.

''Kami telah mengadakan program pengenalan kriket kepada guru sukan sekitar daerah ini awal Disember lepas dan sambutannya amat baik sekali,'' katanya.

 

MD RASHID MUSTAFA (kiri) bersama Muhammad Zahari Othman (tengah) dan guru penyelaras kriket TIP, Mohd. Arif Mat Nawi di hadapan sekolah berkenaan sewaktu pendaftaran pelajar kriket pada 3 Januari 2016.