Kumpulan baharu harungi misi berat di Australia

KUALA LUMPUR - Pasukan kriket bawah 18 Melayu Malaysia akan mengharungi lima perlawanan ujian dalam siri latihan pendedahan di Perth, Australia bermula 8 hingga 15 Disember 2015 dengan jangkaan dapat mengulangi kecemerlangan aksi musim lepas.

Dalam 'ujian' tahun lalu, Melayu Malaysia memenangi empat perlawanan manakala pertemuan kelima berkesudahan seri.


''Ini bukan tugas mudah mempertahankan kegarangan tahun 2014 kerana tiga perempat pemain adalah daripada kumpulan baharu.

Lima pasukan yang ditandingi setiap tahun merupakan pasukan tumpuan oleh Persatuan Kriket Australia Barat,'' kata pengurus pasukan, Ramli Din.

Persatuan Kriket Melayu Malaysia memulakan misi latihan pendedahan di Perth sejak tahun 2001 sebagai kesinambungan pembangunan pemain peringkat usia berkenaan. Bagi pemain bawah 14 pula, pendedahan di Sri Lanka bermula seawal tahun 2002.

Tahun lalu, skuad muda Melayu Malaysia itu menang dengan Kent Street Senior High School, Mt. Lawley, Bayswater Morley dan Belridge tetapi keputusan terikat dengan John Forrest.

''Kali ini dengan barisan yang jauh lebih muda, pasukan kami bersemangat untuk tidak menayangkan aksi mengaibkan,'' kata Ramli bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free.

Pembangunan Kriket Nasional kendalian persatuan berkenaan termasuk pemergian ke Perth adalah tajaan Yayasan Sime Darby.

PEMAIN: Faiz Ahmad Nasir, Fatah Ibrahim, Fadli Haris A. Rahman, Mahathir Razali, Amdam Wiliyoh, Zubaidi Zulkifle, Zohorina Zol, Amirul Zubair Zulkifle, Sudarmin Darwis, Faris Aizzat Shaari, Trisman Rudi, Nik Nazran Sufri Nik Anuay, Zaim Asnawi Osman, Ikmal Yazid.
PENGURUS: Ramli Din
JURULATIH: Zainuddin Harun
PENGADIL: Mat Rani Seman

JADUAL:

10 Dis: Melayu Malaysia lwn John Forrest.
11 Dis: Melayu Malaysia lwn Kent Street
13 Dis: Melayu Malaysia lwn Mount Lawley
14 Dis: Melayu Malaysia lwn Bayswater Morley
15 Dis: Melayu Malaysia lwn Belridge