Skuad perempuan Melayu Malaysia resah kegarangan lawan

KUALA LUMPUR - Status sebagai naib juara tahun lepas membimbangkan pasukan Melayu Malaysia menjelang Cabaran Kriket Perempuan Antarabangsa Chiang Mai bermula 17 November 2015.

Dengan penyertaan pasukan yang lebih kental berbanding tahun lalu, Melayu Malaysia yang rata-rata dibarisi pemain bawah 15 tahun terpaksa mengharungi pertemuan 25 over pertama menentang Thailand A diikuti bertemu Kuwait dan seterusnya, Singapura.


Pengurus pasukan, Siti Hajar Illyas berkata, keresahan sebegitu dirasakan tidak akan menjejaskan aksi sebenar sewaktu perlawanan.

''Mereka akan merasai bahang perlawanan apabila berentap pada hari sebenar. Mereka sudah cukup latihan dan boleh menyamai kemantapan pemain lain,'' katanya.

Semua 14 anggota  Melayu Malaysia merupakan pemain daripada Projek Kriket Nasional kendalian Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang berpusat di Kuala Lipis, Pahang; Gua Musang, Kelantan dan di Kuala Lumpur.

Ketua pasukan, Noor Hayati Zakaria akan dibantu Sasha Azmi;  naib ketua yang berasal daripada perkampungan Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang.

Cabaran di Chiang Mai itu merupakan anjuran bersama Persatuan Kriket Thailand (CAT) dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak dtahun 2013.

''Kejohanan ini semakin dikenali dan dua negara test, Pakistan dan Sri Lanka sudah menyatakan minat untuk mengambil bahagian,''
kata Ketua Eksekutif CAT, Mohideen A. Kader dari Bangkok.

PEMAIN:
Noor Hayati Zakaria, Sasha Azmi, Zumika Azmi, Rohaya Jani, Ainna Hamizah Hashim, Mahirah Ismail, Mas Elysa Zulkifli, Syazwina Hanim Halim, Nik Nur Atiela Din, Nabila Nazeli, Saidatul Bariah Munawir, Arianna Benn Rakquidean, Nurul Syahira Hassan Ali, Nurul Huda Zulkarnaen.

PENGURUS: Siti Hajar Illyas
JURULATIH: Vipula Sittamige

JADUAL:

Selasa: Melayu Malaysia lwn Thailand A; Kuwait lwn Singapura.
Rabu: Melayu Malaysia lwn Kuwait; Singapura lwn Thailand A.
Khamis: Melayu Malaysia lwn Singapura; Kuwait lwn Thailand A.
Sabtu: Pusingan kedua.
Ahad: Babak akhir & penentuan ketiga.
(Semua perlawanan di Royal Chiang Mai Golf Club)