Kriket: Kampung Gadong sasar cemerlang dalam 5 tahun

REMBAU - Pembangunan kriket di Kampung Gadong, Rembau akan mengharungi program peningkatan prestasi dalam lima tahun khusus bagi pemain bagi peringkat usia bawah 12 tahun.

Pembangunan ini bakal digerakkan serentak dengan pembinaan kemudahan asas terutama sekali lapangan tengah dan gelanggang latihan (nets) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau, Negeri Sembilan.

Penasihat Program Pembangunan Kriket di Kampung Gadong, Datuk Rahmah Abdul Hamid telah pun mengadakan sesi dialog yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama peminat kriket di kawasan berkenaan, orang perseorangan dan wakil Persatuan Kriket Melayu Malaysia pada 7 November 2015.

Kampung Gadong terkandung Program Pembangunan Kriket Remaja kendalian Kriket Melayu khusus untuk pemain bawah 12 sejak tahun 1999.

Pada peringkat awal ini, kemudahan asas dirancang di Sekolah Menengah Agama Ulu Gadong dengan penampilan sebuah nets dan lapangan tengah yang akan menjadi pusat utama pembangunan di Kampung Gadong.

Pegawai kemudahan asas Kriket Melayu, Harith Shariff, anak jati kampung itu, juga bekas pemain dan pernah menjadi pengurus skuad bawah 15 dan 19 kebangsaan akan memikul tanggungjawab khusus penyediaan infrastruktur pembangunan.

Rahmah yang juga ibu kepada Khairy Jamaluddin meletakkan sasaran lima tahun untuk pemain-pemain Kampung Gadong menyerlah di samping meneroka dana bagi memantapkan program di sana.

''Kami mahu memastikan pasukan kampung ini dapat menjuarai Perisai Tun Ahmad Sarji dalam saingan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan,'' kata Rahmah.

Kampung Gadong pernah menyertai pertandingan tahunan itu pada tahun 1999. Kemudian ia bergabung dengan skuad Gemencheh untuk menjadi johan pertandingan kriket elit bagi beberapa tahun.

Untuk melengkapkan lagi program pembangunan, penyertaan pemain akan digandakan dengan sokongan PPD Rembau di samping Kriket Melayu akan menghantar  jurulatih kontraknya dari Sri Lanka bagi sokongan kejurulatihan serta teknikal bersama penyelaras tempatan.

''Semua sudah dirancang dan kami bersedia pada bila-bila masa untuk membantu pusat di Kampung Gadong yang kini mendapat sokongan istimewa,'' kata Timbalan Setiausaha Agung Kriket Melayu, Sham Jalil yang berada bersama Khairy Jamaluddin Sabtu lepas.

Kampung berkenaan melahirkan dua pemain utama kebangsaan, Faizal A. Hassan dan Haziq Zainuddin. Kedua-dua mengikuti pengajian di pusat prestasi tinggi Kriket Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia.