Anwar dipilih pemain kriket terbaik liga di Afrika Selatan

KUALA LUMPUR - Pemutar kidal, Anwar A. Rahman beraksi cemerlang di Afrika Selatan apabila dipilih pemain terbaik, Cricket Club South Africa Player of the Week dalam liga antara kelab di seluruh negara itu minggu lepas.

Anwar, 19, pemain Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang mewakili Ottoman Cricket Club dalam liga teratas (1A) Western Province CA meranapkan lapan wiket lawan sewaktu pertemuan ining dengan Claremont CC pada 7 November 2015.. Claremont CC memiliki khidmat dua pemain County Inggeris.


Daripada serbuan 20.2 over itu, balingan Anwar menghadiahkan enam maiden. MInggu terdahulu dia dia turut hebat apabila menumbangkan tujuh wiket apabila menentang Belville CC.

'''Saya dapat merasakan putaran saya semakin berhasil dan memerangkap pemukul lawan di permukaan tanah Afrika Selatan.

''Anugerah ternama di seluruh Afrika Selatan ini  merangsangkan semangat saya untuk terus menguasai lapangan tengah di negara ini,'' kata Anwar dari Cape Town semalam.

Pemain Universiti Kebangsaan Malaysia dalam program penempatan Kriket Melayu itu merupakan antara tiga pemain yang dihantar beraksi di Afrika Selatan sehingga 12 April tahun 2016. Semua perbelanjaan ditaja Yayasan Sime Darby.

Yang Dipertua Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid amat gembira dengan prestasi Anwar dan berharap pemain bawah 19 Malaysia itu terus unggul dalam saingan antara kelab di Afrika Selatan sehingga suku pertama tahun depan.

''Ini merupakan sasaran Kriket Melayu sejak program penempatan dimulakan pada tahun 2011. Setiap tahun kami menghantar pemain beraksi di Australia, England, Afrika Selatan Sri Lanka.

''Langkah ini untuk memastikan Malaysia benar-benar memiliki pemain yang setaraf dengan mereka di negara test,'' katanya.

Dua lagi pemain yang turut bermain di Afrika Selatan ialah Azwar Tajri dan Noor Afif Saufee. Anwar dan Noor Afif dari pusat prestasi tinggi Kriket Melayu di UKM manakala Azwar dalam program di Asia Pacific University.

 

ANWAR A. RAHMAN... putarannya memerangkap lapan pemuikul Claremont CC dalam aksi kelas tinggi di Cape Town, Afrika Selatan 7 November 2015.